Belum masanya untuk kita bersorak gembira
PENGUMUMAN kerajaan berhubung perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri pada Sabtu lalu pastinya agak melegakan banyak pihak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar kelmarin berkata, kerajaan mengambil keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Semua kenderaan turut dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing berbanding dua orang dan kemudian dilonggarkan kepada tiga orang sahaja sebelum ini.
Walaupun negara masih bergelut dengan wabak Covid-19, kerajaan terpaksa mempertimbangkan semua aspek dalam membuat keputusan berkenaan berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka berdepan kerugian RM300 juta sehari sekiranya PKPB diteruskan.
Mungkin masih terlalu awal untuk kita bersorak dengan kelonggaran diumumkan kerajaan itu memandangkan perjalanan melawan virus Covid-19 masih jauh.
Namun dari sisi lain, langkah itu perlu dilihat sebagai satu usaha berani kerajaan bagi membantu membangunkan semula sektor-sektor yang terjejas walaupun angka kes baharu Covid-19 saban hari masih membimbangkan.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) turut menyambut baik kelonggaran diberikan berkenaan memandangkan sektor pelancongan sebelum ini telah terjejas teruk.
Selain faktor ekonomi, aspek sosial masyarakat juga dijangka akan kembali seperti biasa susulan penarikan larangan berkenaan apabila lebih banyak aktiviti-aktiviti luar dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Kelonggaran rentas daerah juga sememangnya amat dinantikan buat mereka di bandar yang telah lama tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan penguatkuasaan larangan tersebut.
Bagaimanapun, dalam keghairahan bertemu keluarga di kampung, jangan pula kita lupa tanggungjawab masing-masing untuk terus memerangi Covid-19 yang masih menjadi ancaman di seluruh dunia.
Ya, rentas daerah memang dibenarkan tapi jangan pula kita rentas ‘had’ kelonggaran ditetapkan kerajaan. Risau juga nanti dek kealpaan kita, ibu bapa di kampung pula menjadi mangsa.
Perlu diingat, Lembah Klang khususnya Selangor dan Kuala Lumpur masih berada dalam pelaksanaan PKPB sehingga 20 Disember ini, malah kebanyakan kawasan di situ turut merekodkan kes baharu yang tinggi pada setiap hari.
Jika semua pihak lalai dan tidak mengikut SOP ditetapkan, tidak mustahil kes Covid-19 akan meningkat seperti mana berlaku di Sabah ini.Tidak dinafikan juga, masih tamai yang merungut dan tertanya-tanya sampai bilakah kita perlu hadapi situasi begini? Adakah pematuhan SOP sahaja sudah memadai?
Mahu tak mahu, suka atau tidak, seluruh masyarakat perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 dengan mengamalkan norma baharu sehinggalah bekalan vaksin tiba.Peranan
Bulan lalu, kerajaan dikatakan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia pada tahun depan.
Sementara negara masih menanti bekalan berkenaan, kini adalah masa buat seluruh rakyat memainkan peranan masing-masing dalam membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Usaha melandaikan kes Covid-19 bukan hanya digalas petugas barisan hadapan sahaja, malah semua pihak perlu memainkan peranan.
Istilah ‘Kita Jaga Kita’ bukan hanya satu ungkapan, namun ia sebagai peringatan buat seluruh masyarakat bahawa tanggungjawab memerangi Covid-19 adalah tugas semua, bermula daripada pemerintah sehingga ke rakyat bawah.
Patuhilah SOP yang ditetapkan kerana inilah masa untuk kita kembali bangkit bersama.
*Asyraf Muhamad ialah wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!