Isu kartel daging import haram dibangkit di Parlimen hari ini
KUALA LUMPUR - Isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (TH) dan tindakan kerajaan terhadap kes kartel daging import haram bakal mencuri tumpuan kerana antara perkara yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan bagi mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan Tabung Haji bagi menamatkan polemik politik yang membelenggu institusi itu.
Soalan itu berada di senarai ketiga pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan selepas tamat sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pula meminta menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan perkembangan siasatan dan langkah tegas kementerian dalam menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai, Johor baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Gudang kartel proses daging babi
30 pusat pengedaran dipercayai ada kaitan kartel
Umat Islam bimbang status halal daging
Sementara itu sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa juga diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan mengikut giliran seperti yang dijadualkan.
Tiga kementerian berkenaan adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!