Kerjasama UMNO: DAP mahu bentuk kerajaan berbilang kaum

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

IPOH - Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO sebelum ini bertujuan membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi negeri yang mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.

“Selain itu, momokan DAP adalah ‘anti Melayu atau anti Islam’ selama ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip good governance.

“Satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat.

“Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran,” katanya.

Katanya, menyanjungi muafakat Pakatan Harapan dan agenda reformasi, DAP tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baharu tanpa Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!