Linda cari bapa warga Korea yang terpisah 22 tahun lalu
JAKARTA - Seorang wanita berharap orang ramai dapat membantu mencari bapa kandungnya yang terpisah sejak 22 tahun.
Helmi Saputri Nurlinda Sari atau lebih mesra dikenali Linda, 25, dari kampung Ambon, Jakarta buntu mencari bapanya yang merupakan warga Korea Selatan bernama Kim Kuk Seong yang dilahirkan di Seoul pada 1 Januari 1964.
Menerusi portal Detik News, Linda menyimpan memori bersama bapanya ketika berusia tiga tahun sebelum ibu bapanya berpisah.
Menerusi video dimuat naik di aplikasi TikTok yang tular di laman sosial, Linda mempercayai bapanya kini berada di Korea Selatan.
"Ini adalah bapa kandung saya, ibu bapa saya bercerai ketika saya berusia tiga tahun. Sejak itu hingga sekarang saya berusia 25 tahun tidak pernah bertemu.
"Kerana ayah saya kembali ke kampung halamannya. Saya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak," tulisnya menggunakan akaun @ lindasari2607.
Setelah ibu bapanya berpisah, Linda tinggal bersama neneknya di Ambon, Sulawesi.
Sejak tahun 1998, Linda dan keluarganya tidak pernah bertemu dan tidak menerima khabar daripada bapanya lagi.
Katanya, dia juga tidak menyangka cubaan pertama mencari bapanya di TikTok mendapat perhatian ramai yang terus memberi sokongan dan semangat kepadanya.
"Saya mencuba nasib mencari ayah di TikTok. Tidak sangka ia tular, banyak posting di TikTok dapat bertemu saudara mara yang hilang.
"Oleh itu, saya mencuba," katanya.
Linda turut mengakui tidak mudah untuk mencari bapa kandung kerana dia tinggal Ambon dan sukar untuk meminta bantuan dari Kedutaan Indonesia dan Korea.
"Ini kerana kedutaan berada di Jakarta, sementara saya di Ambon. Jauh untuk pergi ke sana dan tiada saudara di Jakarta," katanya.
Namun ibu kepada dua anak ini menaruh harapan tinggi untuk bertemu bapa kandungnya dan berharap orang ramai dapat membantunya.
Sejak semalam, video itu telah ditonton lebih dua juta tontonan dan mendapat lebih 211,000 dan lebih 4,000 komen daripada netizen.
Netizen juga ada menasihati Linda untuk mencari di Twitter dan Facebook.
"Cuba kongsi di Twitter, Facebook juga, ramai yang boleh bantu," cadang pemilik akaun @sistdian.
"Semoga ada jalan untuk kamu bertemu dengan ayah, terus berdoa dan semoga doamu dimakbulkan ALLAH," kata akaun @Lyyens pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!