Pembersihan lestari mampu bendung penularan Covid-19
PASCA pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada kehidupan termasuk membersihkan dan disinfeksi bangunan dan fasiliti.
Pandemik ini adalah pembuka mata kepada masyarakat tentang betapa pentingnya amalan pembersihan dan disinfeksi dalam penjagaan kesihatan.
“Jika kawasan tersebut tidak kotor dan tidak berhabuk, maka ianya bersih dan selamat” merupakan satu pemikiran yang tipikal dalam kehidupan seharian kita.
Setelah dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19, masyarakat mula menyedari dan berwaspada tentang kebersihan.
Mereka cenderung untuk membersihkan dan disinfeksi barangan yang mereka beli atau dibawa pulang sebaik sahaja tiba di rumah untuk mengelakkan virus itu tersebar kepada ahli keluarga.
Namun, sejauh mana produk pembersihan dan disinfeksi ini selamat digunakan dalam mencegah virus Covid-19.
Kebanyakan produk pembersihan mengandungi bahan kimia yang dapat bertindak balas dan menghasilkan kesan sampingan berbahaya dan memberi kesan yang buruk.
Sebagai contoh sodium hypochlorite adalah bahan aktif dalam peluntur, dan bertindak balas dengan ammonia, pembersih saliran, dan asid lain.
Campuran peluntur dengan ammonia akan menghasilkan gas chloramine yang boleh menyebabkan beberapa gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit dada, mual, kerengsaan pada tekak, hidung, dan mata, dan juga radang paru-paru.
Ini bermakna sekiranya produk pembersihan yang mengandungi bahan kimia yang berbahaya ini digunakan secara kerap akan menyebabkan kesan kesihatan yang kronik kepada penghuni bangunan dan pekerja pembersihan.
Justeru, keperluan untuk kita memerangi wabak Covid-19 dan dalam masa yang sama melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar perlu dirangka.
Amalan lestari dalam aktiviti pembersihan, dilihat dapat membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan selamat sepanjang tempoh pandemik.
Di Malaysia, amalan pembersihan lestari masih tidak berkembang. Tiada peraturan atau organisasi yang khusus untuk menetapkan dan mengiktiraf amalan pembersihan lestari di negara ini.
Sebenarnya, kerajaan telah menggariskan dasar Perkhidmatan Pembersihan melalui Perolehan Hijau Kerajaan (Government Green Procurement – GGP) dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK 11) iaitu dengan menetapkan supaya kementerian-kementerian dan agensi Kerajaan melaksanakan GGP dengan sasaran pencapaian 20% daripada jumlah perolehan Kerajaan menjelang tahun 2020.
Di dalam Garis Panduan GGP ini menyatakan bahawa produk pembersihan tidak boleh mengandungi bahan yang berasaskan klorin dan asid bukan organik.
Tidak semua pembekal perkhidmatan kebersihan mengamalkan pembersihan lestari yang tidak pernah berkhidmat untuk bangunan kerajaan dan fasiliti awam.
Kerajaan dan organisasi yang berkaitan disarankan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pembekal perkhidmatan pembersihan dan masyarakat awam tentang pentingnya pembersihan lestari ini dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik dan amalan ini dapat diteruskan sehingga pasca pandemik Covid-19.
Pembersihan lestari bukan sahaja memfokuskan aspek produk pembersihan alam, tetapi juga kepada strategi, amalan kelestarian, peralatan pembersihan hijau, dan latihan yang spesifik. Pengiktirafan terhadap amalan pembersihan lestari ini, diharap salah satu usaha dalam membendung wabak Covid-19 tanpa mengabaikan aspek kesejahteraan sejagat.
*Dr Nurul Nadiah Zainol ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!