RM6.8 juta naik taraf e-Kasih, kumpul data lebih tepat: PM

Muhyiddin menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan menambah baik sistem e-Kasih dengan penggunaan teknologi baharu bagi mendapatkan data rakyat yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar dengan lebih tepat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM6.8 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf sistem pangkalan data e-Kasih pada tahun depan.

"Saya sedar sistem (e-Kasih) lama ini tidak berapa berkesan, sebab itu langkah-langkah untuk memperkemaskan dengan penggunaan teknologi baharu supaya data-data itu mestilah lebih tepat. Usaha dibuat untuk tentukan supaya kaedah baharu akan digunakan atas nama e-Kasih juga, tapi tidak seperti e-Kasih yang lama.

“Saya percaya bila kita laksanakan ini maka segala maklumat terperinci seluruh kawasan di negara ini baik di bandar dan luar bandar dapat kita kumpulkan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Faizal ingin tahu sama ada kerajaan akan membangunkan satu sistem yang lebih realistik dan ‘reliable’ selain sistem e-Kasih untuk tujuan rujukan dan agihan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan.

Terdahulu menjawab soalan asal, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mengumpul data untuk mengenal pasti golongan baharu yang termasuk dalam kategori miskin dan miskin tegar akibat pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Menurutnya, seramai 101,385 individu telah menuntut insurans kehilangan pekerjaan setakat 3 Disember dengan 52 peratus daripada jumlah itu adalah mereka yang bergaji RM2,000 dan ke bawah sebulan.

“Berdasarkan kajian berkaitan kemiskinan bandar dan kesejahteraan rakyat ke atas 500 buah keluarga di 16 kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan oleh UNICEF pada Oktober lepas, kadar pengangguran orang dewasa dalam komuniti adalah lebih tinggi iaitu 35 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Kadar kemiskinan lebih tinggi daripada tahun lepas iaitu satu daripada setiap dua isi rumah berada dalam kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran Bank Dunia, pandemik Covid-19 juga akan menyebabkan tambahan antara 88 juta sehingga 115 juta orang terjatuh dalam golongan miskin tegar di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan telah dan sedang melaksanakan usaha untuk pemulihan ekonomi dan sosial dengan mengimbangi keperluan ekonomi, sosial kesihatan dan kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai miskin.

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan untuk membantu golongan itu termasuk pemberian bantuan kewangan bulanan, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan program bantuan sara hidup.

“Kerajaan sentiasa memberikan fokus kepada agenda pembasmian kemiskinan dalam Pelan Pembangunan Negara sehingga kini. Justeru, pada 2 Sept lepas kita telah mewujudkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kemiskinan.

“Jawatankuasa ini juga membincangkan perkara-perkara berkaitan dasar dan strategi serta inisiatif pembasmian kemiskinan termasuklah peranan kementerian dan agensi terlibat untuk memastikan golongan memerlukan mendapat bantuan dan tidak terlepas daripada jaringan keselamatan sosial,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!