ADUN Titi Serong sudah menghadap Sultan Perak
IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengesahkan sudah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta sebentar tadi.
Kenderaan membawa Hasnul Zulkarnain dilihat berada berhampiran istana kira-kira jam 11.55 pagi, malah beliau sempat melambai tangan kepada media yang berada di situ.
Namun begitu, beliau enggan mendedahkan butiran pertemuan dengan Sultan Nazrin itu.
"Ya (menghadap Sultan Nazrin). Saya hanya menghadap seorang jam 11.50 tadi," katanya ringkas kepada Sinar Harian hari ini.
Terdahulu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas negeri ini dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta hari ini.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pertemuan itu adalah atas perkenan baginda untuk mendengar sendiri pendirian mereka berhubung penubuhan kerajaan Perak yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Zahid Hamidi menghadap Sultan Perak, sembah maklum keputusan mesyuarat
UMNO sudah cukup majoriti lantik MB: Ahmad Zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi memaklumkan bahawa parti itu sudah mendapat sokongan majoriti bagi melantik Menteri Besar Perak yang baharu.
Pengerusi BN itu juga memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan baharu di Perak adalah hasil kesepakatan Perikatan Nasional (PN) antara UMNO, Bersatu dan Pas.
DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (5), Bersatu (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Selain ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; mereka yang mewakili Bersatu adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Sementara Pas, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!