GRS tidak akan tunggu, lihat untuk tuntut hak di bawah MA63
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan mengambil sikap tunggu dan lihat seperti yang dilakukan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam usaha menuntut hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan semua hak di bawah MA63 akan dipenuhi.
"Kita akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan semua hak di bawah MA63 dipenuhi dan memperbetulkan semua hak yang dilanggar dan terkumpul selama beberapa dekad untuk diperbaiki," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung persetujuan antara kerajaan Sarawak dan Petronas dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak serta gas di negeri itu melalui sebuah perjanjian komersial.
Jeffrey turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sarawak yang berjaya memeterai perjanjian komersial dengan syarikat minyak nasional itu semalam.
Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, perjanjian itu menunjukkan komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memberikan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63.
"Syukur kerajaan Sarawak kerana berjaya menuntut semula hak mereka. Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan Sarawak melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan hak mereka.
"Bagi Sabah pula, kerajaan negeri akan memastikan isu ini diselesaikan dan akan membuat pengaturan supaya Sabah juga akan menandatangani perjanjian serupa dengan Petronas kerana kedua-dua negeri di Borneo ini mempunyai hak serta keadaan yang sama," katanya.
Tambah Jeffrey lagi, menerusi perjanjian itu, ia akan meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di Sabah dan mempercepatkan pembangunan industri di luar bandar yang mundur berbanding di Semenanjung.
"Apa yang paling penting, perjanjian ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, memenuhi komitmen Persekutuan yang tertunggak dan memastikan sokongan berterusan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!