Warisan perlu kembalikan kepercayaan rakyat bukan ragui Anwar
KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak perlu meragui kemampuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hilang kepercayaan terhadap beliau.
Sebaliknya, Warisan perlu berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti mereka yang telah ditolak rakyat Sabah baru-baru ini.
Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Junaidah Makku berkata, kenyataan Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas yang menyatakan Warisan akan meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain agak melegakan, tetapi dalam masa sama mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai Ketua Pembangkang adalah keterlaluan.
"PKR Sabah tidak berniat menimbulkan isu dengan rakan sekutu dari Warisan, namun saya rasa terpanggil memandangkan kenyataan Jo-Anna dilihat sangat kasar dan tidak beradab.
"Mungkin beliau baru masuk dalam arena politik dan tidak begitu mengenali ahli-ahli politik lain yang berjuang melawan rejim Barisan Nasional (BN) dahulu.
"Namun beliau sepatutnya berterima kasih dengan perjuangan Anwar yang telah membuka ruang dan merintis jalan kepada pimpinan Warisan untuk merampas Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Junaidah berkata, kredibiliti dan kebolehan Presiden PKR itu telah teruji dan dikagumi bukan sahaja oleh rakan dan seteru politik dalam negara malah beliau diiktiraf antara terbaik oleh ahli-ahli politik seluruh dunia.
"Saya ingin menggesa pimpinan Warisan mencari titik persamaan bersama PH dan pembangkang lain untuk menjadi pembangkang yang berkualiti seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat sebelum mendepani Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!