Myfon bantu banduan berhubung dengan keluarga

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob (dua darikanan) sempat berbual dengan salah seorang kakitangannya yang turut menderma darah di Dewan Tan Sri Murad Ahmad, Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob (dua darikanan) sempat berbual dengan salah seorang kakitangannya yang turut menderma darah di Dewan Tan Sri Murad Ahmad, Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Meskipun tidak dapat bertemu mata dalam tempoh pengawalan jangkitan Covid-19, namun banduan masih berpeluang berbual dengan keluarga mereka melalui talian Myfon yang disediakan pihak penjara.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, kemudahan tersebut telah disediakan pihaknya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan awal tahun ini.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut merupakan inisiatif selepas penggunaan aplikasi Skype memandangkan ada dalam kalangan keluarga banduan yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada internet.

"Kami memahami hasrat keluarga untuk terus berhubung dan mereka mungkin mempunyai kekangan akses internet. Maka ini adalah inisiatif tambahan melalui panggilan telefon yang kami pantau menerusi sistem keselamatan penjara yang ada.

"Keluarga hanya perlu beli kad akses bermula RM10 hingga RM30 untuk memudahkan penggunaan telefon tersebut dan mereka akan diberikan masa yang sesuai untuk berhubung dengan keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mat Yaacob meluangkan masa menyantuni pegawai-pegawainya pada Program Derma Darah yang diadakan di Dewan Tan Sri Murad Ahmad, Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mat Yaacob berkata, kemudahan Myfon itu juga diberikan keutamaan kepada banduan yang tidak mempunyai masalah tatatertib sewaktu dalam tahanan.

Sementara itu, mengulas mengenai program derma darah yang dianjurkan, Mat Yaacob berkata, ia merupakan program berkala yang dilaksanakan pihaknya bagi membantu tabung darah beberapa hospital di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia merupakan tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia untuk membantu sesama manusia walaupun berdepan pelbagai kekangan dalam tempoh kawalan pandemik Covid-19.

"Walaupun dalam keadaan berjaga-jaga, namun kita tetap laksanakan tugas kita sebagai barisan hadapan sebaik mungkin.

"Apa yang penting kita semua patuh prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan juga mesti menjaga diri kita sendiri supaya orang lain juga turut selamat,"katanya.

Program derma darah tersebut turut disertai oleh Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) dan Persatuan Bekas Pegawai Penjara Malaysia (EXPOAM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!