JaPen Kelantan buat hebahan di kawasan PKPD
KOTA BHARU - Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan menggerakkan jenteranya membantu membuat hebahan bergerak melalui program Info On Wheel (IOW) berkaitan pencegahan penularan Covid-19 di kawasan sekitar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasir Puteh.
Pengarahnya, Azahar Ismail berkata, pihaknya memberikan kesedaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah di Pasir Puteh untuk memahami langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh masyarakat.
Menurutnya, selain hebahan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu, penjagaan kebersihan diri, pegawai terlibat juga turut mendidik masyarakat supaya tidak mencuba memasuki kawasan PKPD kerana berisiko dijangkiti.
“Setiap hari, terdapat dua pegawai yang bertugas membuat hebahan dan demi keselamatan, mereka tidak digalakkan keluar dari kenderaan serta diwajibkan memakai pelindung muka,” katanya kepada pemberita hari ini di pejabatnya.
Terdahulu beliau menyampaikan hadiah kepada Muhammad Shahmi Shaari, 27, yang merangkul naib johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2020 Peringkat Kebangsaan mewakili Ketua Pengarah Penerangan Malaysia hari ini.
PKPD di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah di Kampung Dalam Huma, Pasir Puteh berkuatkuasa bermula semalam sehingga 20 Disember ini.
Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Kelantan sehingga semalam terdapat 59 kes direkodkan yang mana merupakan kluster kedua tertinggi di negeri ini selepas Kluster Mengketil.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Mac lalu seramai 35 pegawai juga sentiasa turun padang memberikan perkongsian maklumat kepada masyarakat di seluruh jajahan selain membuat hebahan di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.
Katanya, menerusi program IOW sebanyak 4,000 hebahan telah dilakukan yang membabitkan 200,000 golongan sasar di tempat tumpuan umum di bandar-bandar serta kawasan perkampungan orang asli.
“Penerangan akan dilakukan pada setiap masa dan jabatan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan supaya matlamat memberikan kesedaran kepada golongan sasar tercapai.
“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan masyarakat setempat masih akur dengan SOP ditetapkan oleh kerajaan dan menyambut baik peringatan dibuat oleh JaPen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azahar menyifatkan kejayaan yang dicapai oleh Muhammad Shahmi dengan menghantar video berdurasi 10 minit mengisahkan perjuangan Tok Janggut itu satu penghargaan besar buat rakyat Kelantan.
Sementara itu, Muhammad Shahmi berkata, beliau mengambil masa seminggu untuk menyiapkan video menarik tersebut dengan membuat kajian terlebih dahulu kerana ia berkaitan dengan fakta sejarah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!