Umat Islam disaran terima vaksin Covid-19

SHEIKH FADZIL
SHEIKH FADZIL
A
A
A

ALOR SETAR - Umat Islam disaran menerima pengunaan vaksin bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini dalam usaha menjaga nyawa sendiri dan orang lain.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, mufti-mufti yang bersidang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas kali ke-10 bagi tahun 2020 baru-baru ini turut sepakat menyeru umat Islam untuk menerimanya.

Menurutnya, penggunaan vaksin adalah salah satu cara terbaik buat masa ini dan kaedah tersebut dilihat paling berkesan berbanding usaha lain yang sedang dijalankan oleh kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Penggunaan vaksin ini telah diperakukan di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita rasakan masyarakat Islam tidak dapat mengelak dalam penggunaan vaksin Covid-19 ini demi menjaga diri dan nyawa sendiri," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Majlis Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di Menara Zakat, dekat sini hari ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang juga Pengerusi LZNK dan Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Muhammad Nasri Hussain.

Syeikh Fadzil berkata, beliau sebagai seorang mufti menyeru masyarakat Islam agar tidak menolak penggunaan vaksin Covid-19 kerana dihasilkan bukan daripada gelatin haiwan.

"Keputusan ini dibuat selepas dalam kalangan mufti mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan berhubung penghasilan vaksin dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu pada minggu lalu.

"Wakil kementerian itu antaranya menjelaskan bahawa penghasilan vaksin Covid-19 ini menggunakan sumber daripada unsur-unsur lain dan bukannya daripada haiwan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang golongan dalam kalangan umat Islam yang ragu-ragu dengan pengunaan vaksin bagi mengekang penularan pandemik seperti Covid-19.

Semalam Sinar Harian melaporkan Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19 pada 2021.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!