105 menara pemancar atasi masalah capaian internet di Kedah
SUNGAI PETANI - Sebanyak 105 buah menara pemancar komunikasi akan dibina menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) selewat-lewatnya pada tahun 2022 bagi mengatasi masalah capaian internet di 270 lokasi khususnya kawasan pedalaman di Kedah.
Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Romani Wan Salim berkata, setakat ini pembinaan telah pun dilaksanakan secara berperingkat yang mengambil masa selama dua tahun bermula 2020 sehingga tahun 2022.
Menurutnya, sebanyak 10 buah menara pemancar dijangka berjaya disiapkan sehingga penghujung tahun ini, disusuli dengan pembinaan 14 buah menara lagi dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2021.
"Kerajaan negeri yakin bahawa lebih ramai rakyat bakal menikmati kesan pelebaran perkhidmatan telekomunikasi apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Jendela telah meluluskan sebanyak 105 buah menara untuk dibina di Kedah," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Menara Pemancar Komunikasi Sementara di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, sebanyak 1,162 buah menara pemancar akan dinaik taraf ke arah perkhidmatan rangkaian 4G bagi memastikan ia dapat diakses semua peringkat khususnya bagi mendepani pandemik Covid-19.
Romani berkata, susulan masalah capaian internet di sebuah kawasan pedalaman dekat Kampung Kongsi 14 yang tular di media sosial September lalu, tindakan segera dilakukan dengan pembinaan sebuah menara pemancar komunikasi sementara oleh MCMC Kedah bersama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile bagi memberi liputan rangkaian 3G dan 4G.
"Ini merupakan kali pertama penggunaan teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai 'Multi Operator Core Network' (MOCN) digabungkan di Semenanjung Malaysia membabitkan empat syarikat tersebut," katanya.
Beliau berharap agar 180 penduduk di kampung terbabit dapat menikmati akses internet dengan lebih mudah khususnya pelajar yang terpaksa berdepan masalah setiap kali mengikuti pembelajaran dalam talian di mana pengaktifan menara mula beroperasi pada 4 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!