Inix beli 51 peratus kepentingan dalam WGI

Kalugasalam (dua, kiri), Syed Yusof (tiga, kiri), Adrian (tiga dari kanan) dan Choon Hwa (dua, kanan) ketika majlis tandatangan memorandum perjanjian perolehan semalam.
Kalugasalam (dua, kiri), Syed Yusof (tiga, kiri), Adrian (tiga dari kanan) dan Choon Hwa (dua, kanan) ketika majlis tandatangan memorandum perjanjian perolehan semalam.
A
A
A

PETALING JAYA - Inix Technologies Holding Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) untuk membeli 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengedar sarung tangan getah, World Gloves International Group Sdn Bhd (WGI).

Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam berkata, perkongsian terbaharu bersama WGI itu merupakan langkah syarikatnya untuk menyempurnakan rantaian bekalan dalam operasi perniagaan sarung tangan getah mereka.

“Dengan pengambil alihan ini, kami berharap WGI bersama-sama dengan kilang pengeluar yang kami telah peroleh baru-baru ini dapat memberikan sinergi baharu kepada perniagaan sarung tangan getah oleh syarikat kami.

“Ini kerana, secara keseluruhnya objektif syarikat kami adalah untuk menghentikan kebergantungan kepada pihak ketiga dalam rantaian pembekalan produk sarung getah.

“Oleh itu, selain daripada pemilikan kilang pengeluaran, kami juga ingin memasukkan WGI sebagai cabang pemasaran dalam operasi perniagaan sarung tangan getah Inix,” katanya pada sidang media menandatangani memorandum tersebut di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tandatangan memorandum tersebut ialah Pengerusi Inix, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir; Naib Pengerusi, Datuk Tan Choon Hwa dan Ketua Pegawai Operasi WGI, Adrian Goh.

Jumaat lalu, Inix secara rasmi telah menyertai industri sarung tangan getah melalui apabila menandatangani MOA untuk membeli 51 peratus kepentingan dalam kilang sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd.

Sementara itu, Kalugasalam berkata, untuk jangka masa pendek, syarikatnya menjangkakan WGI akan meningkatkan operasi mereka kepada dua atau tiga kali ganda daripada pengedaran semasa syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Untuk jangka masa panjang, pengambil alihan ini akan membolehkan Inix memasarkan produknya dalam kuantiti yang lebih banyak apabila keseluruhan barisan pengeluaran di kilang pengeluar kami siap sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, Goh berkata, perjanjian bersama Inix bakal memberikan peluang kepada WGI untuk meningkatkan pemasaran syarikatnya ke dalam pasaran industri sarung getah dunia.

“Syarikat kami ketika ini menghantar produk sarung tangan getah ke Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Asia di mana pasaran terbesarnya adalah China.

“Dengan pertambahan peruntukan (melalui perkongsian ini), ia akan dapat membantu proses pengembangan operasi kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!