Eky mampu julang Selangor FC

Abu Bakar (kanan) pernah membimbing Shahrel Fikri ketika bersama PKNP FC.
Abu Bakar (kanan) pernah membimbing Shahrel Fikri ketika bersama PKNP FC.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keazaman dan kecekalan dimiliki bekas penyerang prolifik Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi akan menjadi kelebihan dalam membuktikan kemampuan bersama pasukan baharunya, Selangor FC menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim menyifatkan peningkatan prestasi Muhammad Shahrel Fikri dalam beberapa tahun kebelakangan ini didorong semangat serta sifat tidak cepat berputus asa yang ada dalam diri pemain yang mesra dengan panggilan ‘Eky’ itu.

Malah, Abu Bakar yang pernah membimbing Muhammad Shahrel Fikri di PKNP FC turut menyifatkan penyerang skuad kebangsaan berusia 26 tahun itu antara pemain yang sentiasa memberikan segalanya dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik apabila diturunkan.

“Saya melihat beliau (Muhammad Shahrel Fikri) boleh menyesuaikan diri di mana saja beliau berada kerana beliau ada keazaman serta sasaran peribadi dan ia menjadi motivasi kepadanya dalam mencapai apa diinginkan.

“Mengenali beliau, keputusan menyertai Selangor mungkin dipengaruhi sifatnya yang suka mencabar diri sendiri. Saya terkejut dengan keputusan itu tetapi sebagai pemain profesional, beliau berhak untuk mencabar dirinya ke tahap lebih baik,” katanya.

Abu Bakar yang juga bekas pemain dan ketua jurulatih pasukan Perak optimis kehadiran Muhammad Shahrel Fikri juga dapat memanfaatkan jentera serangan Selangor FC dalam mencabar pelbagai kejuaraan musim hadapan.

“Dari segi umur dan kematangan itu telah terserlah apabila beliau berjaya memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama di Perak dengan baik, beliau turut membuktikan dirinya sebagai satu-satunya penyerang tempatan yang dapat menyamai prestasi penyerang import dalam Liga-M,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjulang kejuaraan adalah ketika menjuarai Piala Malaysia 2015 sebelum hanya muncul naib juara Piala FA 2018.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Selangor FC mengumumkan Muhammad Shahrel Fikri sebagai pemain baharu skuad Gergasi Merah selepas mengikuti perkembangan beliau yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika mewakili Perak dan skuad kebangsaan.

Muhammad Shahrel Fikri menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super musim lepas apabila menjadi penjaring terbanyak pemain tempatan dengan mencatat 10 gol dalam 10 penampilan bersama Perak.

Beliau berada pada kedudukan kedua selepas pemain import Selangor Ifedayo Olesegun yang menggondol Anugerah Kasut Emas Liga Super 2020 yang meledak 12 gol. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!