Selamat tinggal Perak
PEMAIN tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri mengambil keputusan meninggalkan skuad The Bos Gaurus bagi mendapatkan lebih banyak peluang beraksi secara lebih kompetitif.
Pemain kelahiran Ipoh itu yang mesra dengan panggilan 'Beto' menegaskan, kekurangan peluang beraksi di bawah pengendali Perak, Mehmet Durakovic pada musim ini, jelas menyukarkan dirinya untuk memburu tempat dalam skuad Harimau Malaya.
Beto yang boleh beraksi di bahagian sayap mengakui, beliau masih teruja untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan setelah kali terakhir membuat penampilan di bawah pengendali kelahiran Portugal, Nelo Vingada pada 2017.
"Kali terakhir saya beraksi bersama skuad kebangsaan adalah ketika kita tewas 1-4 kepada Korea Utara pada 2017, jadi saya memang teruja untuk kembali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan," katanya kepada Bernama hari ini.
"Di Perak pun, saya jarang diturunkan dan saya tak mahu prestasi terjejas kerana saya perlukan lebih minit permainan. Kali terakhir saya diturunkan beraksi adalah sewaktu Perak menentang Kelantan United dalam saingan Piala Malaysia pada 7 Novmber lalu,” kata bekas pemain Harimau Muda itu.
Sementara itu, Beto mengesahkan beliau sedang mengadakan rundingan dengan sebuah pasukan kelab di Lembah Klang dan bakal menandatangani kontrak dalam tempoh terdekat sekiranya mencapai persetujuan dengan pasukan berkenaan.
"Bagi saya, musim 2021 adalah tapak bagi saya untuk bangkit semula dan mencipta nama bersama pasukan baharu yang bakal saya wakili,” jelasnya.
Beto memulakan karier bersama skuad Piala Belia (Bawah 19 tahun) Perak pada 2012, sebelum menyertai skuad Piala Presiden (Bawah 21 tahun) Perak setahun kemudian dan menyaksikan beliau membantu negeri berkenaan muncul juara pada 2014.
Dia pernah disenaraikan oleh bekas pengendali skuad B-19 negara, Datuk Ong Kim Swee untuk menyertai skuad Harimau Muda pada 2013, namun mengambil keputusan kembali ke Perak, setahun kemudian.
Beto diserapkan ke dalam skuad Liga Super Perak pada 2015, namun bergelut mendapatkan tempat apabila pasukan berkenaan dibimbing oleh mendiang Karl-Heinz Weigang dari Jerman pada 2016. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!