Laporan penuh kajian akta buli siber dijangka siap 31 Januari depan

Saifuddin menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Akta Anti Buli di KKMM di Putrajaya hari ini.
Saifuddin menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Akta Anti Buli di KKMM di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menjangkakan laporan penuh kajian tentang cadangan untuk negara mewujudkan akta anti buli siber siap pada 31 Januari depan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, apabila kajian yang dijalankan pasukan penyelidik daripada Multimedia University (MMU) sejak Julai lalu itu siap sepenuhnya, kerajaan akan menentukan dasar tentangnya.

Katanya, selepas dasar itu dibuat, kerajaan akan memutuskan sama ada perlu dibuat pindaan undang-undang atau perlu digubal satu akta baharu mengenai buli siber.

"Dalam proses laporan ini disediakan, pasukan ini yang diketuai Dr S Bahma juga akan mengambil kira tentang beberapa akta yang sedang dipinda pada waktu yang sama, contohnya Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana semua ini ada kaitan.

"Kita juga mengambil kira Rang Undang-undang Gangguan Seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Akta Anti Buli di KKMM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, mesyuarat itu mempersetujui bahawa perbuatan buli siber perlu dianggap sebagai satu jenayah berdasarkan dapatan survei yang diperoleh pasukan MMU setakat ini.

Menurutnya, pasukan MMU itu melakukan survei terhadap dua kelompok utama iaitu orang awam dan pengamal undang-undang dan hasil kajian dalam kalangan orang awam mendapati 17.4 peratus daripada mereka pernah menjadi mangsa buli siber.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 59.4 peratus mengakui mereka menjadi mangsa buli siber menerusi Facebook dan apabila ditanya apa yang dilakukan selepas mengalami buli siber sebanyak 61.4 peratus kata mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu nak buat apa.

"Dalam kalangan orang awam yang disurvei juga sebanyak 89.3 peratus berpendapat perlu diwujudkan akta baharu yang khas," katanya.

Kata beliau, menerusi survei ke atas pengamal undang-undang pula, sebanyak 51.3 peratus daripada mereka merasakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk membendung masalah buli siber.

"Kira-kira 89 peratus daripada mereka bersetuju buli siber diletakkan di bawah jenayah, 74 peratus merasakan perlu ada mahkamah khas untuk buli siber dan 71.4 peratus merasakan perlu ada akta tentang buli siber ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!