TNB teruskan tajaan Wai Ching
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaannya untuk pelari menara di ranking nombor dua dunia dan nombor satu Asia, Soh Wai Ching untuk aktivitinya pada tahun 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai syarikat yang menerapkan budaya mendorong ke arah prestasi tinggi dan kejayaan berdasarkan merit, TNB berbangga dengan pencapaian Wai Ching.
“Untuk melakukan sesuatu seumpamanya adalah satu pencapaian mengagumkan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, serta mengharumkan nama Malaysia sekali lagi di persada antarabangsa.
“Hubungan TNB dengan Wai Ching bermula pada tahun 2019 dan sejak itu, beliau dengan bangganya mengharumkan nama TNB setiap kali bertanding di serata dunia.
“TNB sentiasa berbangga untuk bekerjasama dengan individu dan organisasi hebat dalam sukan yang mendukung semangat kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Oleh itu katanya, TNB meneruskan sokongannya kepada atlet itu dengan tajaan RM70,000 untuk tahun 2021, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan TNB sebanyak RM180,000.
"Penglibatan kami dengan sukan hoki negara, misalnya, telah menyaksikan ramai individu muda digilap menjadi permata dalam pasukan kebangsaan dan seterusnya membanggakan negara dalam pelbagai pertandingan,” katanya.
Sementara itu, Wai Ching berkata, sokongan berterusan daripada TNB sememangnya bermakna untuk beliau terutamanya dalam usaha untuk mencapai status sebagai pelari menara nombor satu dunia.
“Saya sangat berterima kasih kepada TNB atas kepercayaan mereka kepada saya untuk terus bergiat demi membanggakan negara dalam bidang larian menara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TNB atas sokongan, terutamanya ketika permintaan saya di saat akhir untuk menggandakan penajaan mereka bagi Projek Guinness World Records. Tanpa TNB, saya tidak mungkin layak untuk mencipta rekod itu disebabkan bayaran lesen yang diperlukan.
“Saya idamkan ranking nombor satu dunia tahun depan dan sokongan TNB membakar semangat saya untuk mencapai cita-cita itu,” katanya.
Pelari menara berusia 26 tahun itu memecahkan rekod Guinness World Records untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki) (Greatest Vertical Height Stair Climbing in One Hour - Male), menerusi percubaannya di Hotel Four Seasons di Kuala Lumpur pada 18 November 2020 dan TNB adalah penaja utamanya dalam percubaan itu.
Wai Ching memecahkan rekod terdahulu setinggi 1.227 kilometer (km) yang dipegang oleh David Robles dari Sepanyol dengan catatan baharu 1.295 km.
Untuk rekod, antara pencapaian terbaik Wai Ching termasuk memenangi KL Tower International Towerthon Challenge 2019, Seoul Lotte World Tower Sky Run 2019 (pemenang), Empire State Building Run Up 2019 (tempat kedua), Taipei 101 Run Up 2019 (tempat keempat) dan satu-satunya wakil Asia yang bertanding dalam kategori Elit di La Vertical de la Tour Eiffel Tower 2019 dan menduduki tempat keempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!