45 minit yang mendebarkan
KOTA BHARU – Seorang kanak- kanak perempuan berusia 5 tahun bertindak mengunci kereta yang dinaikinya kerana bimbang dimarahi bapanya ketika keluarga itu berhenti makan di Restoran Nasi Ulam Cikgu, Jalan Hilir Kota, dekat sini.
Tindakannya itu mengundang situasi panik ahli keluarga dan orang ramai di situ cuba memujuk mangsa yang berada di dalam kereta Hyundai Sonata berkenaan selama 45 minit.
Salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, orang ramai cuba mengetuk cermin dan menggoyangkan kereta untuk mengejutkan kanak-kanak itu yang disangkakan terlelap kerana berada di bawah tempat duduk depan dalam keadaan menutup muka.
Difahamkan, mereka sekeluarga datang dari Kuala Lumpur ingin menjamu selera di restoran berkenaan.
"Mangsa katanya mengantuk dan tak mahu keluar, jadi ibunya nak beritahu bapanya yang dah berjalan ke arah restoran. Mungkin dia takut dimarahi bapanya kerana tak nak keluar kereta.
"Jadi bila ibunya keluar dari kereta, mangsa terus menutup pintu kereta dan menguncinya dalam keadaan enjin belum dimatikan," katanya.
Mereka kemudiannya menghubungi pihak bomba selepas gagal untuk membuka pintu kereta itu.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Adnan Mohamad, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.49 petang dan tiba 20 minit kemudian.
"Tiga anggota ditugaskan dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta. Anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi membuka cermin kereta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!