Nafas beri jaminan teliti pembayaran dividen tergendala

Phahrolrazi (dua, kiri) menyerahkan cenderahati kepada Amiruddin (empat, kanan) selepas melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Phahrolrazi (dua, kiri) menyerahkan cenderahati kepada Amiruddin (empat, kanan) selepas melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.
A
A
A

GURUN - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mohon diberi masa untuk meneliti beberapa permasalahan berbangkit ketika pengurusan terdahulu.

Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, antara aspek yang akan diteliti termasuk memeriksa akaun dan aliran tunai serta keuntungan badan itu selepas pihaknya mengambil alih pengurusan pada 23 Januari lalu.

"Ini termasuk dakwaan Nafas gagal membayar dividen kepada pemegang saham di kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun. Difahamkan, pembayaran dividen terhenti sejak 2017 dan kita akan teliti perkara ini.

“Pengurusan baru bermula 23 Januari lalu, kita akan teliti perkara ini termasuk memeriksa kedudukan kewangan, serta keuntungan termasuk dividen,” katanya selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd.

Phahrolrazi tidak menolak kemungkinan kelewatan itu berpunca daripada penggantungan Nafas sejak Jun 2018.

“Pembayaran dividen pada 2016 dilakukan dengan kadar 13 peratus, ini termasuk tahun-tahun sebelumnya apabila dividen tidak pernah gagal dibayar. Cuma pada 2018, difahamkan ada masalah dalaman secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, Nafas digantung perlembagaannya oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selama enam bulan bermula Jun 2018, dan ditadbir bawah Ketua Pentadbir yang dilantik dari pegawai LPP.

“Kita ambil alih pun belum cukup sebulan, jadi banyak perkara belum diteliti, termasuk prestasi anak syarikat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Februari lalu, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Wilayah Persekutuan Labuan berharap Nafas segera membayar dividen tahunan (2018) kepada pemegang saham untuk kilang bajanya di Gurun, Kedah.

Pengerusinya, Datuk Yussof Mohammad berkata, Nafas selaku pemegang saham utama dan terbesar Malaysia NPK Fertilizer mencatat keuntungan setiap tahun dan membayar dividen tahunan kepada pemegang sahamnya tanpa gagal setiap tahun.

Namun, proses itu kemungkinan tergendala apabila perlembagaan Nafas digantung sejak Jun 2018, yang kemudiannya melantik ketua pentadbir untuk mentadbir perniagaan Nafas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!