Rumah besar bermentol satu
Setelah mengadakan diskusi dengan seorang kenalan di sebuah restoran di pinggir kota, saya memandu pulang. Hati saya tergerak untuk melalui kawasan perumahan yang agak sunyi. Terdapat rumah-rumah besar yang didiami oleh ramai individu yang berjaya dan hebat dalam kerjaya serta bisnes masing-masing.
Kawasan yang saya lewati itu agak suram kerana dedaun pohon-pohon besar di situ menutupi cahaya lampu daripada tiang-tiang elektrik. Laluannya juga lengang. Tiada kenderaan yang melewati. Sambil memandu, saya memerhati sebuah rumah ke sebuah rumah yang kebanyakannya tiga tingkat. Hampir kesemua rumah kelihatan kelam. Yang nampak terang hanyalah bilik di tingkat bawah. Ada juga yang menyalakan lampu porch sahaja. Saya memerhati kenderaan yang terparkir di setiap rumah yang dilewati. Hampir kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya empat buah kereta. Ke manakah penghuninya? Rumah besar, banyak kereta tetapi kenapakah hanya sebuah lampu yang bernyala?
Saya mengagak tentunya rumah-rumah besar tersebut dihuni oleh hanya sepasang suami dan isteri. Mereka kini sudah menjadi warga emas. Anak cucu tentu kesemuanya tinggal sendiri-sendiri di tempat lain. Mereka tidak larat untuk naik ke bilik tidur di tingkat tiga. Barangkali sakit lutut untuk naik tangga.
Tinggallah mereka berdua yang menginap di bilik kecil di tingkat bawah. Segala pakaian mencukupi. Dari bilik itu hendak ke dapur untuk masak dan makan pun mudah. Hendak membasuh baju pun senang. Bila siang, hendak beriadah, berkebun dan berjemur pun hanya beberapa langkah ke luar halaman.
Mereka tidak perlu naik turun tangga ke tingkat tiga. Jika seorang di tingkat atas, seorang lagi di tingkat bawah, sukar juga jika hendak berhubung di rumah besar yang berdinding batu itu. Nauzubillah, sekiranya apa-apa yang tidak baik terjadi, sukar juga salah seorang daripada mereka segera tampil untuk membantu.
Secara tidak disedari, kita pada hari ini telah diasak dengan idea dan nafsu besar. Hendak makan burger besar dengan air bergelas besar, bergaji besar, berpejabat besar, berkenderaan besar dan berumah besar.
KuasaBesar itu bagus kerana ia melambangkan kejayaan dan kuasa. Yang berusaha dan berjaya akan memperoleh semua yang besar-besar. Yang tidak berjaya dapat yang kecil-kecil. Begitulah tanggapan kita kepada yang kecil.
Kerana itu yang belum berjaya pun mengimpikan untuk ada semua yang besar-besar dan sedang berhempas-pulas berusaha dan bekerja bagi mendapatkannya. Bukan hendak mengata tetapi ia menjadi kehendak majoriti daripada kita yang diasuh dengan sistem kapitalis termasuk yang menulis ini pada suatu ketika dahulu.
Mahu tidak mahu, hakikatnya ia adalah kesilapan pilihan dan idea yang tempang mengenai kejayaan hidup. Anugerah yang besar-besar itu telah menjelma menjadi masalah yang datang bersama kejayaan mencapai impian. Impian kini sudah jadi igauan. Dari satu segi, beruntunglah bagi mereka yang tidak memperoleh yang besar-besar kerana yang besar-besar itu membawa beban yang besar juga.
Dari sudut keperluan, kita sebenarnya tidak perlukan sesuatu yang banyak dan besar pun. Suasana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kita lebih banyak berkurung dan telah mengajar kita bahawa kita tidak perlu pun sesuatu yang besar-besar. Makanan sepinggan yang kecil kenyang juga, bergaji kecil cukup juga, berkereta kecil sampai juga dan berumah kecil dapat berlindung juga daripada hujan dan panas.
Tak kira yang kaya atau dikatakan miskin, kita sama sahaja dari segi inginkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Yang belum dapat habuan dunia tidak semestinya akan jadi seorang yang qanaah. Silap-silap dia yang berlebih-lebih daripada yang dah kaya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!