Pas Perak belum terima secara rasmi titah menghadap Sultan Nazrin
IPOH - Pas Perak masih belum menerima secara rasmi titah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya akan menghadap Sultan Nazrin apabila dititahkan secara rasmi untuk berbuat demikian.
"Setakat ini kami (Pas Perak) belum terima lagi secara rasmi titah menghadap Tuanku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu telah mengarahkan semua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perak supaya hadir menghadap setelah menerima titah rasmi daripada Sultan Nazrin.
Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat Pas adalah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).
Semalam, Razman berkata, pihaknya membatalkan majlis menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini yang dijadual pada jam 3 petang atas arahan pucuk pimpinan parti.
Selain Pas, Bersatu juga tidak menghadap Sultan Nazrin semalam dan menurut Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pihaknya belum menerima titah secara rasmi untuk menghadap Sultan Perak.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada ADUN Bersatu dan Pas negeri untuk menghadap baginda berhubung kemelut politik negeri.
Mohd Annuar dilaporkan berkata, istana menunggu wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN:Pas arah ADUN menghadap Sultan Perak
Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap
Pas, Bersatu akan mohon menghadap selepas mesyuarat
Kemelut politik Perak tercetus selepas Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.
Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali dan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehari selepas itu.
Setakat ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad; pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi serta ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menghadap Sultan Nazrin. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin UMNO, Pas bincang krisis politik Perak
Keadaan 'tergantung' di Perak hanya sementara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!