Lima syarikat telekomunikasi dikompaun

Kenyataan SKMM yang dimuat naik di Twitter hari ini.
Kenyataan SKMM yang dimuat naik di Twitter hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM750,000 kepada lima syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna pada 4 Disember lalu.

SKMM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter hari ini memaklumkan tindakan diambil berdasarkan audit yang dijalankan oleh SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lalu.

“Jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta, bermakna 16 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 58 kompaun bernilai RM2.9 juta dikeluarkan untuk kesalahan sama,” katanya.

Menurut SKMM, syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd telah menerima kompaun sebanyak lima kompaun bernilai RM250,000, diikuti dengan Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

“U Mobile Sdn Bhd pula ditawarkan tiga kompaun bernilai RM150,000 diikuti dengan Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd yang masing-masing menerima dua kompaun bernilai RM100,000 dan stu kompaun bernilai RM50,000,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM turut menegaskan bahawa tindakan yang diambil ini menunjukkan usaha berterusan pihak mereka untuk menjaga kepentingan pengguna daripada kes penipuan dalam talian yang semakin meningkat.

“Pendaftaran kad sim prabayar tanpa pengesahan maklumat pengguna boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!