1,355 tahanan imigresen positif Covid-19
KUALA LUMPUR - Seramai 1,355 tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Jabatan Imigresen Malaysia telah didapati positif Covid-19 berdasarkan statistik sejak Ogos lalu sehingga semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, DTI Bukit Jalil mencatatkan jumlah positif Covid-19 tertinggi iaitu 650 tahanan.
Menurutnya, dalam tempoh sama juga DTI Langkap mencatatkan seramai 481 tahanan yang disahkan positif wabak itu diikuti DTI Semenyih (127), DTI KLIA (77) dan baki 20 tahanan lagi di DTI Belantik, Putrajaya, Lenggeng dan Juru.
"Bagi statistik banduan di penjara pula, daripada 60,583 orang yang disaring bermula 29 Ogos hingga semalam, seramai 829 disahkan positif," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mengenai bilangan pesakit Covid-19 yang berasal dari penjara serta DTI.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Boon Chye mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan petugas agensi di bawah kementeriannya itu bagi menangani banduan serta tahanan, Ismail berkata, pematuhan SOP berdasarkan dua keadaan.
Katanya, dua keadaan itu adalah ketika menerima serta mengeluarkan banduan dan tahanan untuk mendapatkan rawatan atau ke mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!