Perlombongan NR-REE tanpa kebenaran berdepan tindakan
PUTRAJAYA - Pihak yang melakukan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tanpa kebenaran dan kelulusan bakal berdepan dengan tindakan perundangan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat ini tiada pihak yang memohon dan diberi kelulusan untuk menjalankan perlombongan NR-REE.
"KeTSA ingin menekankan bahawa kawalan melalui prosedur operasi standard (SOP) dan perundangan adalah penting bagi memastikan semua aktiviti berkaitan perlombongan NR-REE tidak memberi kesan negatif kepada kelestarian alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.
Menurutnya, SOP perlombongan NR-REEsedang dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.
"Kementerian akan terus memastikan aktiviti perlombongan diusahakan secara mampan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal.
"Kelulusan bagi kawasan selain dari Hutan Simpan Kekal adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal diperoleh terlebih dahulu," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penemuan mineral jenis REE yang dianggarkan bernilai RM60 bilion.
Mineral itu digunakan secara meluas dalam pembuatan komponen peranti seperti komputer riba, komputer dan telefon pintar.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri telah meluluskan permit perlombongan kepada sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur bagi meneroka mineral di negeri berkenaan.
REE yang tidak beradioakrif itu ditemui Baling, Kedah serta sedikit di Lenggong, Perak dan nilainya lebih mahal daripada emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!