Seorang lagi ADUN DAP Perak bantah kerjasama dengan UMNO
SHAH ALAM - Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak, Terence Naidu menolak kerjasama parti itu dengan UMNO dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
ADUN Pasir Bedamar itu berkata, DAP sebagai parti berprinsip tidak patut berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti yang menurutnya terpalit dengan tuduhan rasuah.
Terence turut menyifatkan penyingkiran Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak, hanyalah untuk kepentingan UMNO.
"Kita tidak harus lupa bahawa percaturan terkini adalah hanya untuk menukar menteri besar bagi manfaat mereka sendiri.
"Sekiranya mereka hanya ingin menteri besar daripada UMNO, maka Perikatan Nasional (PN) akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB daripada Bersatu?" soalnya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Justeru katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai 'permainan politik pemimpin atasan UMNO' jika tidak ingin dihukum pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Terence merupakan seorang lagi ADUN DAP yang membantah terhadap kerjasama dengan UMNO selepas ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih pada 6 Disember lalu seperti yang dilaporkan media.
Ia susulan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang dilaporkan berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan UMNO 'demi kepentingan rakyat' dan bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Dalam pada itu, Terence turut membangkitkan peranan UMNO dalam kejatuhan pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 dan kerajaan Pakatan Harapan pada awal tahun ini.
"Sekiranya kerjasama bermakna menyokong pembentangan belanjawan yang memanfaatkan rakyat di kala pandemik Covid-19, sudah pasti saya akan menyokongnya demi kemajuan negeri.
"Tetapi bukan jenis kerjasama membabi-buta yang menyokong mana-mana salah guna kuasa dan korupsi.
"Saya percaya Tuanku Sultan Perak akan membuat segala keputusan yang dilihat baik dan mendahulukan rakyat negeri," katanya lagi.
DAP merupakan parti yang memegang kerusi DUN kedua terbanyak di Perak dengan sejumlah 16 kerusi selepas UMNO yang mempunyai 25 kerusi.
ARTIKEL BERKAITAN:Pas arah ADUN menghadap Sultan Perak
Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!