Ronaldo tak pernah anggap Messi sebagai saingan

Ronaldo mengawal bola sambil diasak oleh Messi.
Ronaldo mengawal bola sambil diasak oleh Messi.
A
A
A

BINTANG Juventus, Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa dia tidak pernah menganggap bintang Barcelona, Lionel Messi sebagai ‘saingan’ kepadanya dalam arena bola sepak dunia.

Malah katanya, setakat ini memang tidak wujud sebarang perselisihan faham antara mereka.

“Sehingga ke hari ini, saya masih memiliki hubungan yang mesra dengan Messi dan saya telah berkongsi anugerah bola sepak selama 12, 13 atau 14 tahun dengannya.

“Saya tidak sesekali melihatnya sebagai saingan buat saya kerana sehingga kini hubungan saya dengannya masih berjalan lancar.

“Dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik buat pasukan dan begitu juga dengan saya,” katanya.

“Sehingga ke hari ini bagi saya Messi bukanlah saingan kepada saya dan melihat perkara ini sebagai satu perkara biasa seperti sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ronaldo membantu skuad The Old Lady itu mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi tadi.

Ronaldo menyempurnakan kedua-dua sepakan penalti pada minit ke13 dan 27 sebelum Wetson McKennie menjaringkan gol ketiga pada minit ke-20 bagi melengkapkan kemenangan pelawat.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan berkenaan juga menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan aksi peringkat kumpulan G dengan masing-masing mengumpul 13 mata selain mengesahkan slot ke saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Sementara itu Ronaldo berkata, dia dapat merasakan bahawa Barcelona sedang berdepan masalah pada ketika ini.

Namun katanya, Barcelona tetap boleh memberikan aksi yang baik bagi saingan Liga Juara-Juara, semalam.

“Walaupun mereka (Barcelona) sedang melalui tempoh yang sukar ketika ini, tetapi mereka masih Barcelona dan boleh beraksi dengan baik.

“Sebenarnya kami sangat gembira ketika ini kerana telah menyelesaikan misi untuk mencatat kemenangan pada perlawanan ini.

“Kami telah menjaringkan gol awal dalam perlawanan ini dan dari situlah kami mula yakin untuk mencatatkan kemenangan kali ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!