Pilihan raya daerah Indonesia diadakan ikut SOP Covid-19

Komisi Pemilihan Umum (KPU) menggariskan peraturan ketat protokol Covid-19 di pusat-pusat pengundian yang mula dibuka jam 7 pagi tadi hingga 1 tengah hari. Foto: Agensi
Komisi Pemilihan Umum (KPU) menggariskan peraturan ketat protokol Covid-19 di pusat-pusat pengundian yang mula dibuka jam 7 pagi tadi hingga 1 tengah hari. Foto: Agensi
A
A
A
JAKARTA - Pilihan raya daerah Indonesia atau Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada 2020) berlangsung hari ini dalam suasana pematuhan protokol kesihatan Covid-19 yang ketat melibatkan sembilan provinsi, 37 kota dan 224 kabupaten (daerah pentadbiran).

Sebanyak 100.3 juta pengundi layak untuk memilih pada Pilkada 2020, bagi memilih gabenor, walikota dan bupati masing-masing.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) menggariskan peraturan ketat protokol Covid-19 di pusat-pusat pengundian yang mula dibuka jam 7 pagi tadi hingga 1 tengah hari ini antaranya mewajibkan pengundi memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, memakai sarung tangan dan menggalakkan pengundi membawa alat tulis sendiri.

Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian dipetik media tempatan sebagai berkata, Pilkada 2020 melibatkan kos sebanyak Rp15.3 trillion (RM4.46 bilion).

"Kita berharap proses pengundian ini tidak mencetuskan kluster baharu Covid-19, semua TPS (tempat pembuangan suara atau pusat pengundian) diarahkan mematuhi protokol kesihatan Covid-19, " katanya.

Pilkada 2020 bagi memilih gabenor adalah melibatkan provinsi Sumatra Barat, Jambi, Bengkulu, Kepulauan Riau, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Kalimantan Utara, Sulawesi Utara dan Sulawesi Tengah.

Sementara bagi pemilihan walikota, tumpuan adalah kepada anak Presiden Joko Widodo iaitu Gibran Rakabuming Raka dan menantu Jokowi, Bobby Nasution yang masing-masing bertanding untuk calon walikota Solo dan walikota Medan.

Keputusan rasmi Pilkada 2020 dijangka diumumkan pada 26 Disember ini.

Pengundian Pilkada 2020 sebelum ini dijadualkan pada 23 September lalu, namun ditunda atas faktor pandemik Covid-19.
Artikel Berkaitan:


Ramai pihak bimbang Pilkada 2020 akan mencetuskan kluster baharu ketika Indonesia masih mencatatkan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan dengan purata harian lebih 4,000 kes baharu sejak November lalu.

Setakat semalam, mengikut data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Indonesia merekodkan 586,842 kes positif keseluruhan, manakala jumlah kematian keseluruhan di republik itu berjumlah 18,000 orang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!