Pencarum tidak layak dijangka peroleh hak sama

Rohani Mohd Shahir. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Rohani Mohd Shahir. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Kriteria-kriteria tertentu bagi pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah wajar memastikan hak-hak mereka yang memerlukan sahaja yang dapat membuat pengeluaran.

Pakar Kewangan, Rohani Mohd Shahir bagaimanapun berkata, beliau yakin mana-mana pemohon yang memerlukan namun tidak menepati kriteria kelayakan tetap akan 'diraikan' KWSP seterusnya memperolehi hak mereka yang sewajarnya.

Dalam hal tersebut, katanya, pemohon perlu berusaha mengemukakan rayuan yang sahih melalui saluran yang betul.

"Kriteria itu perlu wujud supaya ada hak-hak mereka yang perlu sahaja dibenarkan membuat pengeluaran.

"Namun dari segi mereka yang memerlukan tapi dari segi kriteria anda tidak layak, saya yakin KWSP akan meraikan permohonan anda.

"Sertakan apa dokumen-dokumen sampingan dan bagitahu kenapa anda layak dapat pengeluaran. Jika sahih dan boleh dipercayai, saya rasa itu masih boleh dipertimbangkan," katanya selaku panelis Wacana Sinar Harian siri 214 bertajuk 'I-Sinar: Kenapa Tak Lulus Tanpa Syarat?' yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dari kiri: Herleena Parlavy selaku moderator bersama para panelis, Rohani (dua dari kiri), Ahmed Abdul Latiff dan Zouhair (kanan) pada Wacana Sinar Harian edisi ke-214 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Dari kiri: Herleena Parlavy selaku moderator bersama para panelis, Rohani (dua dari kiri), Ahmed Abdul Latiff dan Zouhair (kanan) pada Wacana Sinar Harian edisi ke-214 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Wacana dikendalikan oleh Harleena Pahlavy itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Penyelidik Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rohani berkata, dalam soal penggunaan dana masa depan, setiap individu perlu meletakkan matlamatnya di hadapan dan membuat pertimbangan berdasarkan keperluannya dengan lebih teliti.

"Kalau kita pilih keluarkan dana sepatutnya untuk bersara, kita buat pertimbangan yang berhati-hati dan buat ia sebagai pilihan terakhir. Pastikan pengeluaran itu nanti diletakkan di satu tempat yang akan menghasilkan pulangan yang lebih baik.

"Kalau yang perlu untuk kehidupan, keperluan kesempitan hidup perlu diselesaikan dulu, barulah kita boleh langsungkan kehidupan.

"Namun jika tidak dikeluarkan, jumlah RM10,000 itu boleh digandakan kepada RM27,000 dalam masa 25 tahun lagi berdasarkan empat peratus dividen KWSP. Bagi RM60,000 pula boleh digandakan kepada RM163,000," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup tidak seharusnya diletakkan atas bahu KWSP sahaja, sebaliknya perlu digembeling secara bersama oleh semua agensi yang bertanggungjawab dan mempunyai keupayaan.

"Agensi zakat negeri, perbankan Islam juga salurkan bantuan menerusi program-program CSR mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!