Apabila mufti memakai changshan

A
A
A

PAKAIAN merupakan salah satu aspek budaya yang penting, membentuk identiti sesuatu bangsa. Sebagai contoh, baju Melayu telah menjadi salah satu identiti budaya Melayu. Begitulah juga changshan, yang secara harfiahnya bermaksud “baju panjang”, yang merupakan baju tradisional Cina untuk lelaki, bersamaan dengan ceongsam untuk wanita.

Saya tertarik dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibul Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menghadiri serta merasmikan majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Macma bertempat di restoran Sharin Low, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini dengan berpakaian changsan.

Selain daripada Presiden Macma, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; serta tuan rumah merangkap Timbalan Presiden Macma, Sharin Low; turut hadir ialah tokoh dakwah Cina Muslim yang tersohor, Datuk Dr Mustapha Ma.

Dr Zulkifli sengaja memakai changshan berwarna merah sebagai meraikan komuniti Cina Muslim dan menzahirkan keterbukaan Islam dalam perkara berkaitan adat dan kebudayaan apa jua bangsa selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak. Tindakan beliau itu menunjukkan keindahan Islam kepada rakyat Malaysia terutama kepada yang bukan Islam.

Islam apabila tiba di tanah Arab tidak menghapuskan sama sekali budaya dan tradisi yang sudah sebati dengan masyarakat Arab. Sememangnya terdapat tradisi Arab jahiliah yang dilarang tetapi ada yang dibiarkan malah dikembangkan selagi tidak bercanggah dengan syariat, dan ada juga yang diislamkan. Nabi Muhammad SAW memperkenalkan ajaran Islam tanpa menghilangkan semua budaya jahiliah.

Dengan kebijaksanaan baginda SAW, hanya budaya jahiliah yang bertentangan dengan Islam dibuang manakala yang sesuai dikekalkan dan ada yang dibenarkan dengan sedikit pengubahsuaian agar benar-benar bebas daripada unsur syirik, kefasikan, serta kemaksiatan. Maka, Islam bukanlah menghapuskan budaya tetapi budaya tersebut harus selari dengan agama.

Begitu juga kebudayaan Melayu yang sudah diserap sebagai kebudayaan Islam berdasarkan nilai uruf masyarakat setempat. Ini boleh kita kaitkan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, “Adat dikendong, budaya disanjung, agama dijunjung”. Namun, nilai uruf tidaklah mampu mengatasi nilai agama dan sekiranya berlaku pertembungan antara cara hidup masyarakat setempat dengan nilai agama, maka nilai agama Islam perlu diutamakan dan nilai uruf ditinggalkan.

Islam amat menghargai budaya dalam sesuatu masyarakat kerana budaya yang sudah menjadi salah satu ciri serta identiti masyarakat itu amat sukar untuk dipisahkan daripada kehidupan mereka. Atas sebab inilah masyarakat Cina bukan Islam perlu diberi penerangan dan pendedahan tentang budaya Cina yang masih boleh diamalkan selagi tidak bercanggah dengan syariat. Ini terutama kerana masyarakat Cina sangat bangga dengan budaya yang mencerminkan identiti mereka.

Artikel Berkaitan:

Orang Cina yang memeluk agama Islam sering kali terhimpit antara Cina bukan Muslim dengan Melayu; sama ada ditolak oleh komuniti Melayu, atau Cina, atau kedua-duanya sekali. Tersepit dalam dilema identiti ini, Cina Muslim sering berusaha untuk menunjukkan keislaman mereka (ada kalanya kemelayuan) dalam komuniti Melayu dan menonjolkan kecinaan mereka dalam komuniti Cina, sekiranya mereka ingin diiktiraf oleh kedua-dua komuniti tersebut.

Identiti bagaimanakah yang harus dibawa setelah kembali kepada Islam? Dr Rosey Wang Ma, dalam tesis sarjana beliau pada tahun 1996, menyifatkan dilema masyarakat Cina Muslim di Malaysia seperti berikut:

“Mereka merupakan orang Cina, tetapi atas sebab agama yang berbeza, mereka berlainan daripada kebanyakan Cina tempatan. Mereka adalah Islam tetapi etnik mereka berbeza daripada kebanyakan Muslim di negara kita. Mereka menjadi minoriti Muslim dalam masyarakat Cina dan minoriti Cina dalam komuniti Muslim.”

Dalam Islam tiada istilah fesyen Islamik kerana apa-apa pakaian yang menutup aurat dan tidak terlalu menonjol adalah pakaian Islamik; tidak semestinya memakai jubah Arab, baju Melayu, songkok atau kopiah. Islam tidak pernah menganjurkan penghapusan budaya malah menuntut kita untuk meraikan perbezaan dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

Sebagai Cina Muslim, saya amat menghargai dan bersetuju dengan cara dakwah S.S. Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga ALLAH SWT merahmati beliau.

Kepada semua masyarakat Cina, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Cai!

*Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!