Vorteks Kutub luar biasa?
CUACA sejuk melampau di Amerika Syarikat (AS) memaksa penutupan premis perniagaan dan sekolah.
Ia berpunca daripada fenomena vorteks kutub atau polar vortex yang turut menyebabkan pembatalan jadual penerbangan selain penghantaran barangan terpaksa ditangguhkan.
Keadaan itu menyebabkan suhu di Fargo, North Dakota menjunam hingga -35 darjah Celsius.
Di Chicago, suhu -28 darjah Celsius direkodkan, namun angin kencang mengakibatkan suhu seperti -50 darjah Celsius.
Susulan itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran angin sejuk mencecah -32 darjah Celsius boleh membekukan kulit individu dalam tempoh 15 minit.
Cuaca sejuk melampau itu juga dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 20 kematian termasuk seorang lelaki yang mati kesejukan di Wisconsin.
Menurut pakar ribut musim sejuk di Pusat Penyelidikan Atmosfera dan Alam Sekitar di Massachusetts, Judah Cohen, ia bermula dengan gelombang panas tidak menentu dari Maghribi.
Bulan lalu, udara sejuk biasa terletak kira-kira 30 kilometer di atas Kutub Utara menjadi panas dengan cepat pada suhu kira-kira 70 darjah Celsius yang mana fenomena itu dikenali sebagai vorteks kutub.
Terdapat juga keadaan sama di atas Kutub Selatan.
Perubahan cepat suhu itu disebabkan aliran udara panas dari selatan yang kemudiannya terbelah menjadi vorteks kutub dan bergerak menjadi pecahan kecil yang mana salah satu daripadanya tiba di tengah AS.
Udara sejuk luar biasa itu boleh berterusan selama beberapa minggu.
"Ia mungkin berlarutan pada pertengahan Februari atau besar kemungkinan hingga pertengahan Mac depan," jelasnya.
Rakyat AS pertama kali mendengar 'vorteks kutub' itu kira-kira lima tahun lalu.
Pada awal 2014, suhu menurun sehingga -27 darjah Celsius di beberapa tempat seperti Chicago.
Sejak itu, pakar cuaca telah menggunakan istilah itu selama beberapa tahun dan mula digunakan secara meluas di media sosial.
Tetapi, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberitahu ia bukan fenomena baharu kerana pada 1977, 1982, 1985 dan 1989 juga pernah menghadapi suhu sejuk melampau yang disebabkan oleh vorteks kutub.
Cuaca panas, sejuk tidak akan berakhir
Ketika rakyat AS berdepan cuaca sejuk luar biasa itu, Presiden Donald Trump cuba berjenaka menerusi Twitter meminta fenomena pemanasan global kembali melanda dunia kononnya untuk mengatasi keadaan suhu sejuk melampau itu.
"Di Midwest yang indah, suhu angin sejuk mencecah -60 darjah Celsius, paling sejuk pernah direkodkan. Dalam tempoh beberapa hari lagi dijangka lebih sejuk. Orang ramai tidak boleh berada di luar walaupun hanya untuk beberapa minit. Apa yang sedang berlaku dengan pemanasan global? Tolong kembali segera, kami perlukannya!'.
Profesor Perubahan Iklim di Universiti George Mason di Virginia, John Cook menyelar kenyataan Trump yang didakwa mengabaikan gambaran besar tentang kesan pemanasan global terhadap bumi.
Beliau cuba membandingkan kenyataan itu dengan orang yang berkata, 'waktu malam membuktikan matahari tidak wujud'.
Sementara itu, saintis iklim di Northern Illinois University, Victor Gensini berkata, fenomena itu jelas menunjukkan keadaan cuaca ekstrem tidak mewakili trend suhu skala global.
"Fenomena berlawanan sedang melanda Australia pada masa ini," jelasnya.
Minggu lalu, bandar Adelaide mencecah 46.6 darjah Celsius yang merupakan suhu tertinggi pernah direkodkan di bandar utama negara itu.
Selain itu, bandar berhampiran Port Augusta juga menyaksikan rekod suhu sehingga 49.5 darjah Celsius.
Seorang lagi saintis iklim, Zeke Hausfather di pertubuhan bebas, Berkeley Earth memberitahu, adalah sangat penting untuk mengetahui tentang perbezaan antara iklim dan cuaca.
"Dalam situasi akibat pemanasan global, cuaca luar biasa seperti panas dan sejuk akan berlaku di beberapa bahagian di dunia. Ia tidak akan berakhir," tambahnya lagi. - learningenglish.voanews.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!