Masih banyak perlu dilakukan demi melawan rasuah: Anwar
SHAH ALAM - Melawan rasuah mesti bermula daripada pihak yang berada di puncak kuasa kerana usaha membanteras rasuah memerlukan integriti dan kekuatan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, setiap institusi di negara ini juga perlu dijamin bebas daripada pengaruh eksekutif dan para pemuka politik.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masih banyak yang mesti dilakukan di negara ini bagi membanteras rasuah dan meletakkan Malaysia di jalur demokrasi yang mempunyai kekuatan institusi.
"Kita mengumumkan pelbagai slogan dalam melawan rasuah, namun kuncinya adalah pada sikap dan iltizam politik kerana jika tidak ia hanya sekadar retorik yang berulang dan memualkan.
"Reformasi institusi harus menjadi tunjang dalam menggendong matlamat ini kerana saat ini impian itu belum terwujud secara nyata," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 di sini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, reformasi institusi amat penting ketika negara sibuk dengan usaha membendung wabak Covid-19.
"Ia bagi mengelakkan kemungkinan kebocoran dan ketirisan pelbagai bantuan kepada rakyat yang diumumkan kerajaan.
"Marilah bersama kita mengakhiri mimpi buruk ini dengan membetulkan sikap kita terhadap rasuah dan bangunkan bangsa yang bermaruah dan berintegriti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!