Lima pegawai kastam ditahan berhubung siasatan pemerasan RM20,000
KUALA LANGAT - Polis menahan lima pegawai kastam, Isnin lalu berhubung siasatan pemerasan berjumlah RM20,000 terhadap seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup durian ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, semua pegawai terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada jam 9 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 28 November semasa pengadu berusia 34 tahun bersama abang saudaranya menaiki sampan dari Jeti Sungai Titip ke perairan Tanjung Sepat untuk menghantar beberapa kotak berisi durian di sempadan perairan Malaysia - Indonesia.
"Semasa dalam perjalanan, sampan pengadu dihampiri oleh sebuah bot kastam dan satu bot pancung warna biru yang dibawa oleh dua anggota kastam bersama tiga lelaki warga Indonesia.
"Salah seorang pegawai kastam tersebut telah berbincang dengan pengadu dan meminta wang sebanyak RM20,000 jika tidak mahu ditahan, namun pengadu tidak bersetuju.
"Anggota kastam itu kemudian mengambil beberapa kotak durian pengadu dan duit pengadu sebanyak RM2,000 dan tiga lelaki Indonesia tersebut telah dipindahkan ke sampan pengadu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ujar Azizan, semua pegawai terbabit kemudian terus beredar menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, pengadu juga mendapati salah seorang lelaki Indonesia itu mengalami kecederaan di belakang badan dipercayai akibat terkena tembakan pihak terlibat.
"Semasa pengadu, abang saudaranya bersama tiga lelaki Indonesia itu dalam perjalanan menuju ke darat, mereka telah ditahan anggota ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk siasatan di bawah bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Dalam pada itu, Azizan berkata, pengadu dan abang saudaranya telah diberi jamin manakala tiga lelaki Indonesia telah direman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari.
Tambahnya, ekoran itu, lima pegawai terbabit kini direman selama empat hari bermula Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 225A Kanun Keseksaan, Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 16(a) Akta SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!