3,100 pelajar baharu IPT terima RM1,000 daripada Yayasan Bank Rakyat
KUALA LUMPUR - Lebih 3,100 pelajar baharu di 13 institut pengajian tinggi (IPT) terpilih untuk menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) secara ’one off’ sebanyak RM1,000 seorang daripada Yayasan Bank Rakyat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, beliau dimaklumkan bahawa inisiatif tersebut akan memberikan keutamaan khusus kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan atau keluarga B40.
Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menghargai usaha baik yang dilakukan Yayasan Bank Rakyat melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM3.1 juta bagi bantuan tersebut.
“KPT amat mengalu-alukan dan menghargai usaha yang dilakukan oleh Yayasan Bank Rakyat ini.
“Saya berharap bantuan permulaan ini dapat menjadi pemangkin bagi para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai impian yang dicita-citakan,” katanya ketika berucap pada Majlis penyerahan BAP 2020 itu di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Sementara itu, Noraini berkata, kerajaan sedia maklum akan kepentingan pelaburan modal insan khususnya melalui strategi pengajian tinggi.
Beliau bagaimanapun berkata, keupayaan kerajaan untuk memberikan akses kepada semua yang berkelayakan adalah terhad disebabkan oleh kos yang sangat tinggi.
“Oleh demikian, model penyediaan pendidikan di peringkat pengajian tinggi perlu dipelbagaikan. KPT sentiasa komited mencari ruang dan peluang untuk membantu memudahkan khususnya urusan para pelajar dalam menjalani pengajian mereka.
“Bagi merealisasikan perkara ini, kita amat terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi khususnya dalam aspek penajaan pendidikan atau dalam bentuk seperti peluang latihan industri, penyelidikan dan perkongsian kepakaran,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar lebih banyak pihak akan tampil dan mencontohi jejak langkah Yayasan Bank Rakyat dalam menyantuni golongan yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
“Keterlibatan sektor korporat, swasta dan syarikat berkepentingan kerajaan dalam hal ini amatlah dialu-alukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!