Urusan nikah dan cerai harus ikut SOP ditetapkan JHEAINS

Perkembangan kes Covid-19 di Sabah hari ini.
Perkembangan kes Covid-19 di Sabah hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Individu atau pasangan di negeri ini yang ingin melakukan sebarang urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara SOP yang perlu dipatuhi termasuklah wajib mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis maklumat pada buku khas yang disediakan, melakukan pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal.

"Upacara akad nikah di Sabah hanya dibenarkan di pejabat JHEAINS, masjid yang mempunyai dewan atau bilik khas (bukan ruang solat) dengan kebenaran jawatankuasa masjid dan premis yang dibenarkan oleh mana-mana agensi berkaitan.

"Upacara akad nikah di pejabat JHEAINS hanya terhad kepada tiga orang sahaja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta wali.

"Bagi premis selain pejabat JHEAINS, jumlah maksimum yang dibenarkan adalah 20 orang sahaja berdasarkan ruang dan penjarakkan fizikal di premis berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Masidi berkata, SOP lengkap berhubung perkara itu boleh dirujuk di laman sesawang Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah.

Sementara itu, berhubung aktiviti sukarelawan alam sekitar membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan kerja mengutip sampah, Masidi berkata, ia belum dibenarkan setakat ini.

"Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa, buat masa ini kerajaan negeri masih tidak membenarkan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai berkumpul di suatu tempat sehingga menyukarkan pengawalan penjarakkan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk program atau aktiviti pembersihan, mengutip sampah, aktiviti sukarelawan, penganjuran majlis oleh NGO dan lain-lain pada skala yang besar," katanya.

Terdahulu, Masidi memaklumkan bahawa Sabah hari ini mencatat sebanyak 203 kes positif Covid-19 baharu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 31,260 kes.

"Kes mengikut daerah Lahad Datu mencatat sebanyak 54 kes, diikuti Tuaran dan Sandakan masing-masing 25 kes, Penampang (24), Kota Kinabalu (22), Tawau (17), Keningau (7), Putatan dan Pitas masing-masing enam kes, Kudat (5), Semporna dan Kota Belud masing-masing tiga kes, Papar (2), Beluran, Tenom, Kuala Penyu dan Kota Marudu masing-masing catat satu kes," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!