Top Glove catat untung bersih tertinggi

Top Glove menjelaskan keuntungan lebih positif itu disumbangkan oleh keluaran jualan lebih tinggi, tahap penggunaan yang meningkat sekali gus menambah baik kecekapan pengeluaran serta harga jualan purata lebih tinggi sejajar dengan penetapan pasaran.
Top Glove menjelaskan keuntungan lebih positif itu disumbangkan oleh keluaran jualan lebih tinggi, tahap penggunaan yang meningkat sekali gus menambah baik kecekapan pengeluaran serta harga jualan purata lebih tinggi sejajar dengan penetapan pasaran.
A
A
A

TOP Glove Corporation Bhd sekali lagi mencatatkan prestasi kewangan bersejarah apabila keuntungan bersihnya mencecah paras tertinggi bagi suku pertama berakhir 30 November 2020 dengan melonjak 20 kali ganda kepada RM2.38 bilion daripada RM111.43 juta pada suku yang sama sebelum ini.

Perolehan turut melonjak 293 peratus untuk mencecah prestasi tertinggi pada RM4.76 bilion daripada RM1.21 bilion bagi tempoh yang sama, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap sarung tangan di pasaran membangun dan pesat membangun berikutan pandemik global Covid-19 yang berlarutan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Top Glove menjelaskan keuntungan lebih positif itu disumbangkan oleh keluaran jualan lebih tinggi, tahap penggunaan meningkat sekali gus menambah baik kecekapan pengeluaran serta harga jualan purata lebih tinggi sejajar dengan penetapan pasaran.

“Selain itu, kecanggihan teknologi yang ada ke arah inisiatif automasi dan pendigitalan, pembangunan bakat yang berkesan serta peningkatan inovasi, kualiti dan produktiviti juga mendorong keuntungan lebih baik,” menurutnya.

Syarikat itu juga mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 16.5 sen sesaham, boleh bayar pada 11 Jan, 2021 untuk memberi ganjaran kepada kira-kira 100,000 pemegang saham awam.

Setakat 30 November 2020, syarikat itu berada pada kedudukan tunai bersih RM3.45 bilion.

Selain itu, Top Glove menjelaskan pihaknya memperuntukkan RM10 bilion untuk perbelanjaan modal bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2025 yang akan melonjakkan kapasitinya dengan 100 bilion keping sarung tangan lagi.

Top Glove kekal berharap vaksin untuk menangani penularan pandemik itu berjaya dibangunkan berdasarkan laporan pembangunan dan kemajuan yang dicatatkan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun vaksin berjaya dibangunkan, sarung tangan masih diperlukan untuk ujian dan pengendalian vaksin,” menurutnya.

Ia menambah sebelum pandemik, permintaan sarung tangan global telah meningkat sekitar 10 peratus dan ini dijangka terus bertambah dengan stabil, didorong oleh asas-asas pasaran yang kukuh di semua negara.

“Walaupun permintaan akan stabil selepas pandemik, permintaan tidak akan kembali kepada paras sebelum pandemik berlaku kerana kesedaran mengenai kepentingan kebersihan juga meningkat,” menurutnya.

Mengenai prospek, Top Glove menjangkakan permintaan sarung tangan terus meningkat 20 peratus pada 2020, 25 peratus pada 2021 dan 15 peratus selepas pandemik berakhir.

“Pertambahan pesanan jualan yang stabil daripada pelanggan setia di 195 negara di seluruh dunia, di samping rancangan peningkatan kapasiti dan penambahbaikan kualiti, produktiviti dan kecekapan dipacu teknologi menjadi petanda baik bagi prestasi syarikat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!