Lima penagih ditahan kerana samun, curi bot

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BAGAN DATUK - Lima penagih dadah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun bersenjatakan parang dengan melarikan sampan dan dua bot pancing di perairan Bagan Datuk di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam bahawa sampan milik satu keluarga disamun suspek kira-kira jam 8 pagi.

“Dua buah bot pancing turut dilaporkan hilang dipercayai diambil individu yang sama. Bertindak berdasarkan maklumat, polis menahan lima lelaki itu kira-kira jam 9.30 pagi.

“Polis berjaya menjumpai semula bot yang dipercayai disamun dan merampas dua buah bot pancing bersama tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu didapati positif methamphetamine dan ganja menerusi ujian saringan air kencing.

“Semakan lanjut mendapati kesemua tangkapan yang merupakan warga tempatan mempunyai beberapa rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua direman selama enam hari sehingga Isnin ini untuk disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!