Culik ahli perniagaan di Bangkok: Rakyat Malaysia antara ditahan

Polis Thailand menahan lima suspek termasuk seorang rakyat Malaysia yang disyaki terlibat menculik seorang ahli perniagaan dari China. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Polis Thailand menahan lima suspek termasuk seorang rakyat Malaysia yang disyaki terlibat menculik seorang ahli perniagaan dari China. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Polis Thailand menahan lima suspek termasuk seorang rakyat Malaysia yang disyaki terlibat menculik seorang ahli perniagaan dari China di Bangkok.

Lelaki berusia 49 tahun itu yang merupakan seorang pemandu pelancong dan empat lelaki rakyat Thailand telah ditahan di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri, kira-kira 100 kilometer dari Bangkok pada Selasa.

Ketua Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Pakapong Pongpetra berkata, ahli perniagaan berusia 43 tahun itu telah diculik di Sukhumvit Soi 39 di Bangkok pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, suspek rakyat Malaysia telah menghubungi rakan mangsa dan menuntut 3 juta yuan (RM1.86 juta) sebagai tebusan.

“Siasatan dijalankan selepas rakan mangsa memaklumkan insiden penculikan itu kepada Sub Bahagian Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan kesemua suspek di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri pada Selasa.

“Polis berjaya membebaskan ahli perniagaan itu dan memberkas kelima-lima suspek,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pakapong berkata, siasatan awal menunjukkan terdapat pertikaian perniagaan antara mangsa dan seorang daripada suspek yang mungkin membawa kepada penculikan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekurang-kurangnya tujuh suspek terlibat dan dua daripada mereka yang dipercayai rakyat Myanmar masih bebas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!