TFC sambar dua tonggak muda Kelantan
DUA tonggak utama Kelantan - Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shahrul Nizam Roshani bakal memperkuatkan cabaran Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim depan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd semalam, Nik Akif dan Shahrul Nizam yang mana kedua-duanya merupakan pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mengikat kontrak selama dua tahun.
Sebelum ini, Nik Akif, 22, yang dianggap antara pemain muda tengah terbaik negara telah dikaitkan dengan perpindahan ke TFC, namun tiada sebarang kata putus berjaya dicapai oleh kedua-dua belah pihak.
Shahrul Nizam, 22, atau lebih mesra disapa Nijey pula merupakan pemain pertahanan yang dikatakan dipancing beberapa pasukan lain, namun kejayaan skuad Penyu mara ke pentas Piala AFC mendorongnya berkelana ke Terengganu musim depan.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, pihaknya sudah mula mengintai kelibat Shahrul Nizam sejak pemain berusia 22 tahun itu membarisi Kelantan dan skuad B-23 negara.
“Dia ada pengalaman beraksi di peringkat domestik dan antarabangsa, jadi sudah tentu kehadirannya akan memperkuatkan lagi pasukan terutama selepas ketiadaan pemain berpengalaman Nasrullah Haniff Johan musim depan,” katanya.
Sebelum ini, TFC telah mengikat bekas pemain sayap licah Pahang kelahiran Pulau Pinang, Faisal Abdul Halim selama dua tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!