Hawa sudah tidak sabar hendak ke sekolah
SESI persekolahan tahun hadapan Hawa Maizarah masuk Tahun 4. Adam Danial pula masuk Tahun 2. Dua-adik beradik ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kemuning, Shah Alam. Sementara Umairah Raudhah pula akan masuk Tahun 1 di SK Kampung Soeharto, Kuala Kubu Bharu.
Tiga anak saudara saya ini sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan sesi persekolahan mereka. Tahun ini mereka terlepas banyak aktiviti menarik di sekolah. Perasaan sama juga mungkin dirasakan oleh murid-murid yang lain
Hawa beritahu, dia bukan saja rindukan sekolah, malah dia rindukan kawan-kawan dan guru-guru.
Hawa turut mengadu dia tertekan sepanjang mengikuti proses pembelajaran secara dalam talian di rumah.
Ramai ibu bapa yang mengakui, pembelajaran di rumah tidak berkesan seperti belajar di kelas kerana anak-anak mudah hilang tumpuan. Lagipun suasananya tidak seperti dalam kelas. Bertabahlah.
Kalau orang dewasa boleh tertekan dengan Covid-19, apa lagi kanak-kanak. Dia memang murid yang rajin dan bercita-cita mahu memakai ‘topi kotak’ dan ‘jubah besar’ sambil memegang skroll.
“Hawa seronok pergi sekolah. Boleh jumpa kawan-kawan, ada cikgu. Tak seronok belajar secara online, tak macam sekolah, tak ada kawan-kawan.
“Seronok bercuti tetapi bosan duduk lama-lama di rumah, tak ada lagi kawan-kawan untuk bermain. Nak main di luar pun tak boleh,” katanya kepada saya baru-baru ini.
Kasihan, mereka hilang keseronokan bersekolah. Mereka juga hilang momen berharga. Pandemik Covid-19 memberi kesan buat hampir seluruh masyarakat, tidak terkecuali golongan kanak-kanak apabila sekolah terpaksa ditutup dalam mengekang penularan wabak itu.
Sudahlah tidak boleh bersekolah, terpaksa pula beradaptasi dengan cara belajar yang baru secara cepat.
Menurut badan kebajikan, Save the Children, buat pertama kalinya dalam sejarah manusia, kanak-kanak di seluruh dunia terganggu pendidikan mereka.
Kata pertubuhan itu, sesuatu gangguan pada persekolahan kanak-kanak, walaupun singkat meninggalkan impak negatif berpanjangan terhadap pendidikan mereka.
Pada Mac lalu, semua sekolah ditutup apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setelah hampir empat bulan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian di rumah akibat PKP, akhirnya semua pelajar dan murid kembali ke sekolah pada Julai dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Namun pada 8 November, Kementerian Pendidikan sekali lagi mengumumkan sesi persekolahan ditutup akibat gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Sebenarnya, kehidupan di alam persekolahan dan aktiviti rutin persekolahan telah banyak berubah secara tidak langsung memberi kesan besar terhadap pengajaran guru, pembelajaran murid, pencapaian akademik, pembentukan perwatakan murid khususnya dari segi intelek, emosi, sosial, jasmani dan rohani.
Pensyarah psikiatri di Harvard Medical School, Christopher Willard berkata, kanak-kanak berasa sangat sedih disebabkan mereka kehilangan rutin harian, kebebasan serta rakan-rakan.
Menurut laporan Unesco pula, penutupan sekolah berpanjangan turut menyebabkan pelajar dan negara bakal kehilangan jumlah besar sepanjang hidup mereka.
“Ini menggambarkan betapa teruk kesan penutupan sekolah, malah menjelaskan beberapa langkah diputuskan kerajaan dalam membentuk dasar untuk menebus semula hari persekolahan yang hilang,” jelas laporan itu.
Pada masa yang sama, sudah tentu guru-guru juga tidak sabar hendak kembali ke sekolah untuk berjumpa anak didik mereka selepas ‘bercuti’ sekian lama dan mengamalkan pendidikan norma baharu.
Pastinya sesi persekolahan yang akan bermula 20 Januari depan menjadi detik ditunggu-tunggu oleh anak-anak ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, tarikh itu ditetapkan berdasarkan takwim tahun 2021 yang telah dimuktamadkan.
Hawa mewakili suara murid-murid yang sudah tidak sabar hendak ke sekolah pada tahun hadapan. Jangan kecewakan mereka. Apa yang jelas, hidup mesti diteruskan.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!