KWSP tertekan, namun kriteria boleh ditambah baik
SHAH ALAM - Isu pengeluaran dana caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meletakkan agensi dana berkenaan dalam keadaan tertekan, kata penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Beliau berkata, pengeluaran wang oleh pencarum akan mengurangkan dana pelaburan KWSP, sedangkan pada masa sama KWSP bertanggungjawab memastikan pulangan dividen tinggi untuk masa depan pencarum.
"Ada pihak yang lepas tangan. Rakyat guna duit sendiri, KWSP kena guna dana pelaburan dia untuk beri kepada rakyat. Ada pihak yang tak boleh bagi bantuan sebab tak ada duit.
"Tekanan kepada KWSP untuk mendapatkan pulangan dividen tinggi supaya dana persaraan rakyat bertambah," katanya selaku panelis Wacana Sinar Harian siri 214 bertajuk 'I-Sinar: Kenapa Tak Lulus Tanpa Syarat?' yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Wacana dikendalikan oleh Harleena Pahlavy itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu pakar kewangan, Rohani Mohd Shahir dan Penyelidik Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pengeluaran dana secara berperingkat ditetapkan KWSP juga bersebab dan beliau melihat kewajaran ketetapan itu.
Menurutnya, tempoh enam bulan membolehkan KWSP menstrukturkan semula strategi pelaburan mereka bagi memperoleh pulangan dalam tempoh tersebut.
"Mereka yang terjejas pendapatan disebabkan tak mampu tampung komitmen bulanan. Enam bulan adalah satu tempoh untuk mereka memperoleh pendapatan boleh guna. dengan bantuan berkala, ada masa untuk mereka kawal perbelanjaan atau meningkatkan pendapatan.
"KWSP pula tidak perlu sediakan dana yang besar pada Januari. Mereka boleh menstrukturkan semula strategi pengeluaran mereka supaya dapat beri pulangan pelaburan mereka dalam enam bulan," katanya.
Mengulas mengenai kriteria pengeluaran bagi kategori kedua iaitu melibatkan 30 peratus pendapatan terjejas, beliau berkata, perkara itu perlu ditambah baik dengan memansuhkannya bagi golongan berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Beliau juga menekankan agar pencarum yang layak agar mempertimbangkan penggunaan dana untuk kelangsungan hidup dengan tidak menggalakkan ia digunakan untuk modal perniagaan jangka pendek.
"Untuk berniaga, saya lebih cenderung jika sesiapa yang berminat untuk berniaga mendapatkan platform lebih sesuai, agensi yang membantu boleh bagi dana asalkan kita ada peluang untuk perolehi tambahan pendapatan.
"Sekarang ini kita lihat gerai-gerai makin bercambah, cuma bagaimana dengan daya tahannya. Bila tidak ada ilmu dan bimbingan cara pemasaran yang betul, hanya tahan sekejap sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!