Jurujual didakwa memandu dalam keadaan mabuk
TAPAH - Seorang jurujual yang tular memandu melawan arus didakwa di Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk bulan lalu.
Tertuduh, T Yugeswaran, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu dalam keadaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 191 miligram (mg)/100 mililiter (ml) darah melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 50mg/100ml darah.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di KM355.4 Lebuhraya Utara - Selatan arah selatan kira-kira jam 6 petang pada 11 November lalu.
Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen selama tempoh dua tahun dari tarikh sabitan, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli menawarkan jaminan RM30,000 berikutan kes memandu melawan arus serta mabuk kerap berlaku selain video dirakam orang awam itu telah tular di media sosial.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Amani William Hunt Abdullah memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga serta anak berusia empat tahun.
Mohd Harith kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin selain menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pemandu Perodua Axia terbabit memandu melawan arus sejauh 1.4 kilometer kerana mahu lari dari sekatan jalan raya di Sungkai sebelum terbabit dalam kemalangan melibatkan kereta dan treler.
Satu klip video berdurasi 16 saat yang dirakam seorang pengguna lebuh raya tular di Facebook yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara melawan arus dan melanggar sebuah kereta sehingga kenderaan itu berpusing beberapa kali.
ARTIKEL BERKAITAN: Pandu kereta lawan arus lari sekatan jalan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!