Masih ada harapan buat Najwa
PONTIAN - Buntu, demikian perkataan yang diluahkan Shahrul Nezam Khamis, bapa kepada pesakit jantung terbalik Elisya Najwa, 8, tatkala ditanya tentang pembedahan dan keadaan kesihatan anaknya itu.
Ini kerana pembedahan yang sepatutnya dijalankan pada akhir bulan lalu, ditangguhkan selepas hasil pemeriksaan mendapati terdapat masalah pada tiub jantung anak sulung dari empat beradik itu.
Shahrul Nizam, 28, berkata, dua pilihan turut diberikan pakar perubatan kepadanya selepas pembedahan membuat pintasan jantung gagal dilaksanakan.
“Sepatutnya pembedahan pintasan jantung dilakukan pada akhir bulan lepas, tetapi terpaksa dibatalkan.
“Ini kerana selepas pemeriksaan dan MRI dilalukan, saluran tiub jantung bermasalah dan berisiko jika pembedahan diteruskan,” katanya.
Jelasnya, Najwa diberikan pilihan sama ada bergantung dengan oksigen seumur hidup melalui salur pernafasan yang ditebuk di leher atau menjalani pembedahan di India.
“Saya diberitahu, pembedahan bagi penyakit Najwa boleh dilakukan di India.
“Pada 22 Februari nanti, pakar dari India akan datang dan berbincang dengan pakar perubatan di sini untuk mencari kaedah terbaik bagi merawat penyakit jantung terbalik Najwa,” katanya.
Hanya yang terbaik buat Najwa
Shahrul yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) memberitahu, dia hanya mahukan yang terbaik buat Najwa.
Katanya, Najwa telah menjalani dua pembedahan jantung pada tahun lalu.
“Pembedahan pertama selepas Aidilfitri lalu menelan kos RM37,000. Baitulmal tanggung separuh bayaran tersebut, manakala selebihnya hasil sumbangan orang ramai selepas kisah Najwa tular di media sosial.
“Pembedahan kedua pada September lepas, di mana kos pembedahan sebanyak RM24,000. Kali ini ditanggung Institut Jantung Negara,” katanya.
Shahrul Nizam berkata, walau apa juga keputusan yang dibuat kelak, dia hanya mahu yang terbaik buat Najwa.
“Memang belum apa-apa keputusan lagi. Saya diberitahu jika tiada sebarang kata putus tentang pembedahan ke atas Najwa, kemungkinan dia hanya mampu bertahan sebelum usianya 15 tahun,” katanya.
Najwa kerap demam
Bagi ibu Najwa, Syakirah Alias, 28, dia tidak pernah berhenti berdoa agar si kecil itu pulih dan normal seperti kanak-kanak seusianya.
Katanya, Najwa kini kerap demam dan mudah jatuh sakit.
“Najwa cuma makan bubur dan minum susu. Kalau ada duit lebih, saya akan belikan Najwa susu formula khas yang berharga RM70 setin itu.
“Jika tidak, saya hanya berikan Najwa susu formula bayi yang biasa dijual di kedai berharga kurang RM30,” katanya.
Jelasnya, Najwa yang kini berada di Tahun 2 menunjukkan minat untuk belajar meskipun dalam keadaan kesihatan tidak menentu.
“Najwa sangat gembira terima bantuan awal persekolahan seperti kasut, baju dan beg sebelum sesi persekolahan 2019 bermula.
“Dia sangat gembira hendak ke sekolah. Tetapi kesihatannya tidak menentu menyebabkan dia kadang-kala terpaksa dihantar pulang ke rumah lebih awal,” katanya.
Menurut Syakirah, Najwa hanya terbaring selepas pulang dari sekolah dan kelihatan sangat tidak bermaya.
“Najwa cuma senyum bila ditanya tentang keadaan dirinya,” katanya.
Bagi Syakirah tiada apa yang diharapkan selain mahu melihat Najwa kembali sihat dan ceria seperti dahulu.
Najwa menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300, manakala Shahrul Nizam menerima bantuan JKM sebanyak RM400.
Terdahulu pasaraya Econsave telah melancarkan tabung bagi membantu Najwa yang diletakkan di pasar raya di bandar Pontian dan Pekan Nanas.
Selain itu, kisah Najwa yang pernah dipaparkan Sinar Harian turut mendapat perhatian pelbagai pihak antaranya Ahli Parlimen Tanjung Piai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farik Md Rafik.Hidapi masalah jantung terbalik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!