40 bayi lahir 9 Disember terima 'bonus'
MELAKA - Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM6,000 bagi meraikan 40 bayi bertuah sempena sembilan bulan tempoh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam.
Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua bayi yang lahir di negeri itu semalam layak untuk menerima pembiayaan khas 'one off' berjumlah RM150 setiap seorang melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
"Seramai 40 bayi dilahirkan di seluruh negeri dan daripada jumlah itu 31 bayi dilahirkan di Hospital Melaka, seorang bayi di Hospital Terendak dan selebihnya di hospital swasta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 pada hari pertama persidangan mengumumkan semua ibu yang melahirkan bayi bermula dari jam 12 tengah malam semalam sehingga 11.59 tengah malam tadi di negeri ini dipilih untuk menerima pemberian khas daripada kerajaan Melaka berjumlah RM150 melalui pembukaan Akaun SSPN-i.
Berita gembira itu diumumkan sempena usia sembilan bulan kerajaan PN mengambil alih kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mac lalu.
Sementara itu Rahmad turut menyatakan pembiayaan 'one off' RM50 daripada kerajaan negeri melalui pembukaan Akaun SSPN kepada anak Melaka yang melahirkan anak pada tahun depan.
ARTIKEL BERKAITAN: 5,000 penjawat awam di Melaka dapat bantuan khas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!