Awas taktik penipuan babitkan i-Sinar
SHAH ALAM – Di saat rakyat tertunggu tunggu pengeluaran i-Sinar yang diumumkan Kerajaan baru-baru ini, sudah mula timbul sindiket penipuan yang ingin memancing wang pencarum walaupun permohonan secara rasmi i-Sinar masih belum dibuka.
Penipuan yang sudah mula dilihat termasuk di Facebook, Whatsapp, SMS, Telegram antaranya mempromosikan skim pelaburan palsu, atau mengumpul maklumat pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan persaraan itu secara haram tanpa pengetahuan pemilik simpanan tersebut.
Sesetengah sindiket mengambil langkah lebih drastik dengan merangka aplikasi mudah alih palsu yang mengelirukan pencarum, dan sekaligus mencuri maklumat peribadi yang diisi oleh pencarum di dalam aplikasi tersebut.
Dalam sebuah kenyataan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meminta para pencarum berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan sindiket penipuan atau scam yang mungkin mencari peluang melakukan jenayah seperti berikut:
Ejen (orang tengah): Sindiket penipuan mungkin menggunakan taktik menyamar sebagai ejen yang dilantik KWSP kononnya boleh mempercepatkan proses dan kelulusan i-Sinar
Permohonan atas talian palsu: Sindiket penipuan mungkin akan mewujudkan satu sistem permohonan atas talian palsu menggunakan aplikasi seperti Facebook, WhatsApp, SMS, Telegram dan juga aplikasi mudah alih palsu.
Panggilan palsu – Sindiket penipuan mungkin akan menggunakan taktik panggilan telefon palsu dan menyamar sebagai pegawai KWSP kononnya boleh membantu mempercepatkan proses dan kelulusan dengan mengenakan bayaran tertentu.
Para pencarum diharapkan tidak terperangkap dengan tipu helah penjenayah siber ini dan mesti membuat segala urusan pengeluaran i-Sinar melalui aplikasi i-Akaun KWSP sahaja atau berkunjung kepada pejabat KWSP terdekat.
Pada masa sama, institusi simpanan persaraan itu juga memberi amaran kepada pencarum supaya tidak memberikan maklumat peribadi kepada pihak ketiga apabila berurusan tentang pengeluaran i-Sinar ini.
Situasi ini juga antara punca KWSP meletakkan proses pengesahan bagi pengeluaran i-Sinar, dengan bertujuan mengelak pencarum menjadi mangsa penipuan.
Kata KWSP, pengeluaran i-Sinar adalah tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada, yang akan membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.
Pengeluaran i-Sinar diberi secara automatik automatik bagi mereka yang layak di bawah Kategori 1 iaitu hilang pekerjaan, dipaksa cuti tanpa gaji, atau mengalami pengurangan pendapatan lebih 30% sejak Mac 2020.
Ini termasuk mereka yang bekerja di sektor formal; bekerja sendiri bekerja dan di dalam sektor ekonomi gig. Skop juga telah diperluaskan untuk merangkap suri rumah, ahli-ahli yang lama tidak mencarum dan mereka yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Bagi Kategori 1, pencarum hanya perlu memohon secara dalam talian bermula 21 Disember 2020 dan kelulusan akan diberi secara automatik memandangkan KWSP akan menggunakan data dalaman.
Dengan pelaksanaan sistem kriteria tersebut, komitmen juga telah diberikan oleh KWSP untuk melaksanakan pembayaran i-Sinar kurang 30 hari daripada tarikh permohonan.
Di bawah Kategori 2 pula, permohonan mulai 11 Januari 2021 dipertimbangkan bagi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan kurang 30%, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa.
Di bawah Kategori ini, dokumen sokongan diperlukan memandangkan data pendapatan elaun dan lain-lain tidak sedia ada dalam pangkalan data KWSP. Pihak KWSP juga telah memberi komitmen akan mempertimbangkan pelbagai dokumen dalam proses ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!