Lima ADUN Perak diperkenan angkat sumpah Exco
KUALA KANGSAR - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau telah menyembah maklum cadangan senarai itu kepada baginda Sultan pagi tadi bagi menyegerakan penubuhan kerajaan untuk membolehkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan.
"Oleh kerana masa yang agak suntuk, maka sebuah kerajaan terlebih dahulu perlu ditubuhkan.
"Mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya seorang Menteri Besar dan empat Exco yang dilantik.
"Jadi untuk peringkat pertama ini, saya mencadangkan lima nama untuk diperkenankan tuanku dan saya juga memohon supaya lima nama itu dapat segera diadakan majlis angkat sumpah," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14
Tanpa mendedahkan senarai lima Exco berkenaan beliau berkata, kesemua ADUN itu diperkenan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah pada jam 2.30 petang hari ini.
"Ini membolehkan saya memanggil Mesyuarat Exco yang pertama dan dalam mesyuarat itu nanti akan terlebih dahulu meneliti dan meluluskan buku belanjawan yang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan pada Rabu depan," katanya.
Terdahulu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ditangguhkan sehingga 16 Disember depan.
Persidangan DUN Perak sepatutnya berlangsung selama lima hari bermula 4 Disember lalu dengan pembentangan Belanjawan 2021.
ARTIKEL BERKAITAN: Saarani MB Perak yang baharu
Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak
Saarani: Bermula sebagai pendidik, kini Menteri Besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!