Wanita dicalonkan jawatan Setiausaha Perdagangan AS
WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden merancang untuk menamakan pakar perdagangan mengenai China, Katherine Tai sebagai Setiausaha Perdagangan AS di dalam pentadbirannya, lapor media negara itu semalam.
Tai yang merupakan seorang peguam perdagangan berpengalaman akan menggantikan Robert Lighthizer apabila memegang jawatan itu.
Keputusan menamakan wanita itu merupakan antara usaha AS untuk memperbaiki hubungan dengan rakan perdagangannya yang tidak mesra ketika negara tersebut berada di bawah kepimpinan Presiden, Donald Trump.
Trump juga sebelum ini melaksanakan perang perdagangan dengan China.
Tai akan menjadi wanita pertama berketurunan Asia-Amerika dan keempat yang bakal berkhidmat dalam Kabinet Biden tidak lama lagi.
Beliau merupakan graduan daripada Univerisiti Yale dan lulusan undang-undang Universiti Harvard dan ketika ini menjadi ketua peguam perdagangan untuk Jawatankuasa Keuntungan dan Pendapatan Dewan Perwakilan AS.
Tai juga pernah mengendalikan isu-isu mengenai perdagangan AS dengan China sebagai penasihat undang-undang di Pejabat Perwakilan Perdagangan negara itu.
Wakil-wakil rakyat daripada parti Demokrat dan Republikan di Kongres AS sebelum ini telah memuji kerja-kerja yang dilakukan oleh wanita tersebut.
Mereka memuji Tai kerana kerja-kerja yang dilakukannya dalam perjanjian perdagangan antara AS dengan Kanada dan Mexico sekali gus mencadangkan nama wanita berkenaan untuk memegang jawatan berkenaan, lapor portal berita Politico.
Seorang senator daripada parti Demokrat, Sherrod Brown dari Ohio menyatakan wanita tersebut paling layak untuk memegang jawatan itu.
"Tai memainkan satu peranan penting bagi membolehkan penambahbaikan untuk pekerja-pekerja diperoleh dalam perjanjian antara AS, Mexico dan Kanada," katanya menerusi Twitter.
Biden daripada parti Demokrat akan mengangkat sumpah jawatan Presiden AS pada 20 Januari tahun depan selepas menewaskan Trump yang mewakili parti Republikan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!