Wujud rangkaian baharu penyeludupan migran di Johor
JOHOR BAHRU - Polis Johor percaya terdapat rangkaian sindiket penyeludupan migran yang baharu berikutan masih terdapat pembolosan di pintu masuk terutama di kawasan pantai timur negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan dan tangkapan susulan akan dilakukan setelah mengenal pasti dalang sindiket.
"Setakat ini kita dapati masih ada pembolosan dan polis serta tentera juga ada lakukan tangkapan.
"Setakat April sehingga Julai tahun ini sahaja lebih 70 suspek terdiri daripada tekong darat dan laut telah diberkas dan disiasat di bawah Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Kesemua suspek dalam penjara untuk dibicarakan tetapi mungkin mereka berjaya wujudkan rangkaian baharu untuk membolosi pintu masuk dan lokasi pendaratan negeri. Kita akan kesan jaringan dan rangkaian mereka," katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pasar Borong Pandan sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada terdapat cubaan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negeri ini.
Selain itu, Ayob Khan berkata, setakat ini tidak pernah berlaku insiden tembak menembak melibatkan sindiket penyeludupan PATI mahupun kontraban di negeri ini.
Menurutnya, insiden yang berlaku setakat ini hanya cubaan melanggar bot marin terutama di sekitar pantai timur iaitu di Sedili, Kota Tinggi dan Rengit, Batu Pahat.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dan memastikan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di negeri ini dibekalkan jaket kalis peluru dalam masa terdekat.
"Polis marin dibekalkan jaket kalis peluru cuma mungkin ada yang perlu digantikan dengan baharu. Jaket yang dibenarkan adalah 'level' tiga...manakala PGA pula akan dibekalkan dalam waktu terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!