Anak Jokowi bakal jadi Datuk Bandar Solo
JAKARTA - Anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dijangka menjadi Datuk Bandar baharu Solo, jawatan yang menjadikan bapanya sebagai ahli politik terkenal, menurut keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (PIKALDA) semalam.
Kiraan dilakukan beberapa pusat pengundian menunjukkan Gibran Rakabuming Raka yang disokong Parti Demokrasi Perjuangan (PDI-P) meraih hampir 90 peratus undi.
Di Medan, Sumatera Utara, tinjauan dibuat Charta Politika pula mendapati menantu Jokowi, Bobby Nasution juga telah memenangi pemilihan itu dengan 55 peratus undi.
Beberapa pengkritik bagaimanapun mempersoalkan sama ada Presiden cuba mewujudkan dinasti Jokowi melalui penglibatan ahli keluarganya dalam politik.
Satu lagi calon dinasti baharu adalah Hanindhito Himawan Pramono yang merupakan anak kepada Setiausaha Kabinet, Pramono Anung yang menang tanpa bertanding di Kediri, Jawa Timur.
Jawatan itu didakwa telah dipegang legasi keluarganya selama lebih 20 tahun.
Sementara itu, anak saudara kepada bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla yang bertanding di Makassar dikatakan tewas kepada pesaingnya.
Pada tahun ini, lebih 100 ahli politik dinasti menyertai PIKALDA berbanding 52 pada 2015.
Lebih 100 juta rakyat turut menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih sembilan gabenor, 224 bupati dan 37 datuk bandar pada pemilihan itu.
Keputusan rasmi PIKALDA 2020 dijangka diumumkan pada Selasa depan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!