MBAS keluarkan dua notis sebelum roboh Kuil Sri Raja Muniswarar

Antara laporan Sinar Harian berkaitan isu Kuil Sri Raja Muniswarar.
Antara laporan Sinar Harian berkaitan isu Kuil Sri Raja Muniswarar.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan dua notis sejak setahun lalu kepada penjaga Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini supaya merobohkan kuil berkenaan yang dibina di tempat awam tanpa kebenaran.

MBAS dalam suatu kenyataan berkata, notis pertama dikeluarkan pada 2 Disember 2019 melalui serahan tangan kepada penjaga kuil berkenaan atas kesalahan mendirikan sebuah kuil tanpa kebenaran di tempat awam.

Mereka dikehendaki merobohkan binaan kuil terbabit dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis.

Bagaimanapun, katanya, kuil terbabit masih tidak dirobohkan oleh penjaganya walaupun setelah tempoh tujuh hari yang diberikan telah tamat.

“MBAS kemudiannya menghantar notis kedua yang dikeluarkan pada 29 Julai 2020 secara serahan tangan kepada penjaga kuil terbabit atas kesalahan yang sama dan mengarahkan penjaga kuil merobohkan binaan terbabit dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis.

ARTIKEL BERKAITAN: Roboh kuil ikut undang-undang, bukan isu perkauman: MB Kedah

Saravanan minta MB Kedah jelaskan pendirian

“Tetapi kuil berkenaan tetap tidak dirobohkan oleh penjaganya sehingga tempoh tamat,” katanya menurut kenyataan dikeluarkan MBAS.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan berkenaan, bukan sahaja kuil, malah Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah dan pemilik-pemilik garaj kereta di situ turut menerima notis yang sama.

“Notis kepada Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah dikeluarkan pada 2 November lalu yang ditampal pada premis berkenaan dan mereka dikehendaki merobohkan binaan dalam tujuh hari.

“Manakala pemilik garaj kereta pula menerima notis terbabit pada 22 November lalu dan mereka diminta untuk mengubah dan mengalihkan bangsal dalam tempoh satu hari dari tarikh notis.

“Bagaimanapun kesemua binaan terbabit tidak dirobohkan oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga tarikh notis tamat,” katanya.

Susulan itu, katanya, MBAS telah menjalankan operasi tindakan penguatkuasaan ke atas binaan tanpa kebenaran MBAS di atas kawasan lapang Taman Bersatu pada 1 Disember lalu.

"Operasi ini bertujuan untuk memastikan orang awam mematuhi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 agar tiada apa-apa binaan atau struktur tanpa kebenaran didirikan di atas kawasan lapang atau mana-mana tempat awam.

"MBAS turut memohon mana-mana pihak yang mendirikan apa-apa binaan atau struktur di atas kawasan lapang tanpa kebenaran MBAS untuk meruntuhkan binaan atau struktur tersebut dengan sendiri sebelum MBAS mengambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!